Caj ‘pasport terbang’ RM850, ejen sindiket ditahan

LocalPolitics
3 Feb 2026 • 3:17 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Serbuan dilakukan di sebuah pangsapuri di Taman Daya, Johor Bahru, Khamis lalu. Foto JIM Johor
image is not available
Seorang lelaki tempatan dipercayai ejen sindiket 'pasport terbang' ditahan JIM Johor. Foto JIM Johor
image is not available
Pemeriksaan di premis terbabit menemui sembilan pasport milik warga asing. Foto JIM Johor

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki tempatan dipercayai ejen sindiket ‘pasport terbang’ ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor dalam satu operasi khas di sebuah pangsapuri di Taman Daya di sini, Khamis lalu.

Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, tangkapan itu dibuat menerusi Operasi Serkap hasil risikan selama dua minggu terhadap kegiatan sindiket berkenaan yang disyaki menyalahgunakan dokumen perjalanan.

**media[3422539]**

Beliau berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 6.50 petang dan pemeriksaan di premis terbabit menemui sembilan pasport milik warga asing yang dipercayai digunakan untuk keluar masuk negara dengan mendapatkan cop keselamatan secara tidak teratur.

“Seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Pasport 1966 (Akta 150),” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Rusdi berkata, siasatan awal mendapati suspek bertindak sebagai ejen sindiket dan mengenakan bayaran sebanyak RM850 bagi setiap pasport yang diuruskan.

**media[3422540]**

Katanya, suspek kini ditahan di Bahagian Penguatkuasaan JIM Johor bagi membantu siasatan lanjut sebelum tindakan diambil mengikut peruntukan undang-undang.

“Jabatan memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan pasport dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat kerana perbuatan ini boleh mengancam keselamatan negara.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyerahkan pasport kepada mana-mana pihak dan segera menyalurkan maklumat kepada Jabatan Imigresen Malaysia sekiranya mengetahui sebarang kegiatan penyalahgunaan dokumen perjalanan,” katanya.