Calon BN ikrar naik taraf infrastruktur di Kampung Tanjung Aru

LocalPolitics
12 Jan 2026 • 12:57 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

SANDAKAN: Calon Barisan Nasional untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan Mohd Kurniawan Naim Moktar berikrar akan mengutamakan naik taraf infrastruktur di Kampung Tanjung Aru jika diberikan mandat oleh pengundi.

Bercakap kepada media semasa lawatan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Tanjung Aru, Naim menggariskan beberapa keperluan utama termasuk menaiktaraf masjid kampung, pembinaan dewan baharu, gelanggang futsal dan menangani keperluan semasa penduduk.

Beliau ditemani Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) merangkap Ahli Parlimen Kimanis Datuk Mohamad Alamin semasa lawatan itu.

Ketua PDM Tanjung Aru Abdul Samat Ahmad turut hadir.

“Ini antara tekad saya untuk mengenal pasti keperluan yang diperlukan penduduk di sini,” kata Naim, dan menambah, kerajaan sebelum ini telah membawa beberapa kemudahan di kampung itu seperti sekolah dan klinik desa.

Semasa majlis sama, Naim turut bertemu pemuda di kawasan itu bagi membincangkan kebimbangan mengenai pekerjaan.

Mengenai isu gaji yang tidak mencukupi bagi anak tempatan sehinggakan ramai mahu berhijrah ke luar daerah, Naim yakin, ada mekanisme gaji daripada kerajaan selain banyak peluang untuk belia termasuk bidang kemahiran dan yang lain.

“Hal ini akan disuarakan di Parlimen jika diberikan mandat termasuk keperluan semasa rakyat yang lain,” katanya.

Naim mengakui bahawa pada Pilihan Raya Negeri baru-baru ini, Barisan Nasional kalah di salah satu daripada empat saluran mengundi di Sukau.

Katanya hal itu akan diteliti lanjut, dengan pengundi muda dan pertama kali menjadi antara fokus utama.

Beliau turut berikrar akan memperjuangkan kebajikan nelayan yang juga antara pekerjaan utama kampung itu jika dipilih untuk mewakili Kinabatangan.

PRK Parlimen Kinabatangan diadakan susulan kekosongan kerusi tersebut dengan pengundi bakal menentukan siapa yang akan mewakili kawasan itu di Dewan Rakyat.