Calon-calon PKR tidak ambil mudah tanding kerusi tradisi

Politics
31 Jul 2023 • 5:08 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SUNGAI PETANI: Calon di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dianggap sebagai kerusi tradisi PKR, tidak mahu mengambil mudah saingan lawan masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah kali ini.

Calon Pakatan Harapan (PH) dari PKR bagi kerusi DUN Lunas Shamsul Anuar Abdullah (gambar) berkata berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas ia jelas menunjukkan bahawa usaha gigih diperlukan pihaknya bagi terus menarik sokongan pengundi khususnya golongan muda.

“Nak kata tiada tekanan itu tipulah. Tapi kalau tekanan hebat sangat tidak juga. Kita mempunyai penyokong yang ‘fixed deposit’ kita. Cuma keputusan PRU15 baru-baru ini apabila kita kaji, antara puncanya ialah anak muda ini mengikut trend terutamanya menerusi media sosial. Kita agak ketinggalan dari segi media sosial baru seperti Tiktok.

“Mengambil iktibar itu kita terpaksa meremajakan cara (mendekati pengundi) dengan harapan kita akan dapat menarik sokongan mereka. Kita mengharapkan kebijaksanaan anak-anak muda,” katanya ketika ditemui di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Dusun, hari ini.

Pada PRN ini, Shamsul Anuar menghadapi saingan lima penjuru untuk merebut kerusi DUN Lunas, yang menyaksikan beliau dicabar oleh calon Pakatan Nasional (PN) Khairul Anuar Ramli serta tiga calon Bebas iaitu N.Rajendran, S.S.Pannir Selvam dan S.Arichindarem.

Sementara itu, calon PH bagi DUN Bakar Arang yang juga dari PKR Adam Loh berkata beliau akan berkerja keras bagi memenangi kerusi DUN itu dengan tumpuan diberikan kepada usaha memberi penerangan kepada pengundi mengenai inisiatif dan kejayaan yang dicapai Kerajaan Perpaduan.

“Ada dua aspirasi yang ingin saya bawa, iaitu pertamanya bagi meningkatkan infrastruktur pengangkutan di Sungai Petani termasuklah lampu isyarat pintar bagi mengatasi masalah lalu lintas yang dihadapi di kawasan ini,“ katanya.

Katanya beliau turut berhasrat untuk membawa cadangan kepada kerajaan agar sebuah stadium mini dibina di sini untuk dimanfaatkan oleh masyarakat khususnya golongan muda.

Pada PRN kali ini Adam berdepan dengan calon PN Raymond Tai Kuang Tee dan Tan Kee Chye (PRM) dalam saingan tiga penjuru.

Selain Lunas dan Bakar Arang, kerusi DUN Sidam, Kulim dan Bukit Selambau turut dianggap sebagai kerusi tradisi dan kubu kuat PKR di negeri ini memandangkan parti itu tidak pernah tewas sejak 2008. -Bernama