Calon GRS Usukan janji aktifkan semula jelapang padi terbiar

LocalPolitics
20 Nov 2025 • 9:06 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

Calon GRS Japlin Akim bertekad hidupkan semula sawah padi terbiar di Usukan berdasarkan pengalaman 30 tahun dalam sektor pertanian

KOTA BELUD: Calon Gabungan Rakyat Sabah bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Usukan Datuk Japlin Akim bertekad mengaktifkan semula sawah padi terbiar dan memacu pembangunan ekonomi kawasan itu sekiranya diberikan mandat.

Japlin berkata Usukan pernah menjadi antara jelapang padi signifikan di Sabah namun sebahagian besar tanah sawah tidak lagi diusahakan.

“Bila saya menjadi wakil rakyat, antara tumpuan saya ialah membuka tanah ini semula, mengaktifkan semula penanaman padi supaya petani mendapat pendapatan,” katanya.

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah Usukan itu menekankan komitmennya berpaksikan pengalaman peribadi dan kerjaya dalam sektor pertanian sejak kecil.

“Saya adalah seorang anak petani yang memang daripada kecil hidup sebagai petani,” ujarnya.

Beliau belajar di Universiti Pertanian Malaysia dan mendapat ijazah dalam bidang perniagaan tani.

Japlin berkata perjalanan kerjayanya termasuk bekerja 15 tahun di Koperasi Pembangunan Desa dan 10 tahun di Lembaga Pertubuhan Peladang.

“Bila saya menjadi wakil rakyat pada tahun 2004, saya dilantik sebagai Pembantu Menteri Pertanian,” katanya.

Beliau yakin Usukan mampu kembali muncul sebagai wilayah pengeluaran makanan yang berdaya maju.

Japlin menyasarkan pengembangan tanaman padi, getah serta pengukuhan sektor nelayan dan penternakan.

Beliau berkata keadaan tanah pertanian terbiar berpunca daripada kekurangan fokus penyelarasan sebelum ini.

“Pada saya, saya adalah orang yang paling sesuai untuk mengaktifkan ini berdasarkan latar belakang kehidupan saya, pendidikan saya, pengalaman saya bekerja,” tegasnya.

Berdepan persaingan enam penjuru, Japlin dicabar bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak dan Ahli Parlimen Kota Belud Isnaraissah Munirah Majilis.

Japlin berkata fokus beliau bukan kepada lawan politik tetapi perkhidmatan terbaik untuk rakyat Usukan.

“Saya tidak memikirkan dengan siapa saya harus bertanding tetapi saya fikir untuk berkhidmat untuk rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan khidmatnya di lapangan telah diteruskan sejak 2020.

Japlin yakin Usukan mempunyai potensi besar menjadi peneraju sektor pertanian di Kota Belud.

Pemodenan aktiviti pertanian tradisional dan penggerakan semula tanah terbiar mampu menjadi sumber ekonomi baharu kepada penduduk. – Bernama