
KUALA LANGAT, 5 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Kuala Langat akan melancarkan manifesto khas esok.
Manivanan Gowin berkata manifesto itu meliputi semua golongan dan tidak akan meminggirkan sesiapa pun termasuk belia dan wanita.

“Saya telah melakukan rondaan di Kuala Langat sejak dua minggu lalu dan mendapati ada beberapa perkara yang perlu dilakukan demi kebaikan penduduk.
“Antaranya Hospital Banting yang perlu dinaik taraf supaya dapat beri perkhidmatan terbaik, kesesakan lalu lintas dan pencegahan banjir.
“Sebagai bekas Ahli Parlimen Kapar saya tahu apa yang perlu dilakukan dan amanah sebagai wakil rakyat dilantik,” katanya ditemui selepas pencalonan di Dewan Seri Jugra Telok Datok di sini. hari ini.
Manivanan akan memulakan gerak kerja bersama jentera dengan memasuki tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sijangkang, Morib dan Banting.
“Saya berterima kasih kepada pimpinan kanan daripada tiga DUN atas sokongan diberikan. Saya akan bergerak ke setiap kawasan untuk berkenalan dan mengetahui masalah penduduk,” katanya.
Manivanan yang merupakan seorang peguam berdepan saingan enam penjuru di Parlimen Kuala Langat pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) antaranya Pesuruhjaya PAS Selangor Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi mewakili Perikatan Nasional.
Turut bertanding M. Mohana daripada Barisan Nasional, Mohd Ridzuan Abdullah (Pejuang), Ganeskumar (Parti Rakyat Malaysia) dan Zanariah Jumhuri (Bebas).
The post Calon HARAPAN Kuala Langat lancar manifesto khas esok appeared first on Selangorkini.

