Calon HARAPAN Shah Alam sumbang petrol percuma, tarik minat anak muda mengundi

12 Nov 2022 • 6:33 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 12 NOV: Kira-kira 500 penunggang motosikal mendapat petrol percuma sumbangan calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Shah Alam di stesen minyak Petron Seksyen 18 di sini hari ini.

Azli Yusof berkata inisiatif berkenaan bertujuan menarik pengundi khususnya golongan muda di samping menyeru mereka untuk keluar mengundi pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), 19 November ini.

image is not available
Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Shah Alam Azli Yusof membantu penunggang motosikal mengisi petrol di stesen minyak Petron Seksyen 18, Shah Alam pada 12 November 2022. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

“Program ini juga untuk kita beri kesedaran kepada mereka betapa pentingnya mengundi sekiranya mahu negara ditadbir kerajaan yang baik,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui selepas program berkenaan.

Azli menjelaskan memasuki hari kelapan berkempen, beliau sudah melawat lebih 50 peratus kawasan Shah Alam dan berazam bekerja lebih kuat bagi memastikan kemenangan berpihak kepada HARAPAN.

“Kalau ikutkan banyak lagi kawasan perlu dilawati, Insya-Allah kita akan cuba selesaikan semua sehingga tibanya PRU15,” katanya.

Timbalan pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) itu diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai calon nombor satu dalam kertas undi berdepan tiga lagi pencabar.

Pesaing beliau ialah Dr Afif Bahardin (Perikatan Nasional), Isham Jalil (Barisan Nasional) dan Rafique Rashid (Pejuang).