Calon HARAPAN Sungai Buloh bantu agih 500 makanan buat 120 keluarga terjejas banjir kilat 

11 Nov 2022 • 2:49 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 11 NOV: Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) Parlimen Sungai Buloh membantu Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Melayu Subang mengagihkan 500 makanan siap masak malam tadi kepada penduduk kampung berkenaan yang terjejas banjir kilat.

Bagaimanapun, Datuk R Ramanan lega apabila 120 keluarga terlibat tidak perlu berpindah ke pusat penempatan sementara (pps) berikutan air kembali surut selepas beberapa jam.

“Hujan lebat jam 3 petang menyebabkan air mula naik ke rumah penduduk terutamanya kawasan rendah kira-kira 4.30 petang sebelum surut pada 6.30 petang.

“Walaupun tiada mangsa dipindahkan ke pps. Saya bantu agihkan 500 bungkus makanan yang disediakan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) supaya meringakan beban mereka ketika berdepan ujian ini,” katanya.

image is not available
Calon Pakatan Harapan Parlimen Sungai Buloh Datuk R Ramanan berbual bersama penduduk ketika bersarapan di Restoran Subang Pit Stop, Kampung Melayu Subang, Shah Alam pada 11 November 2022. Foto Facebook Ramanan Ramakrishnan DR

Terdahulu beliau meluangkan masa bersarapan bersama penduduk di Restoran Subang Pit Stop di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Melayu Subang Misni Mohd Dahlan berkata banjir melibatkan penduduk yang tinggal sekitar Jalan Merbau, Jalan Resak, Jalan Jati, lorong Haji Misbah dan Taman Setia Warisan.

“Ini kejadian kedua tahun ini. Kali pertama pada April namun kita bersyukur kerana kejadian tidak seteruk hujung tahun lalu.

“Kejadian semalam hanya merosakkan perabut penduduk. Kita harap masalah ini diberi keutamaan,” katanya.

Hujan lebat hampir dua jam petang semalam turut menjejaskan beberapa kawasan sekitar Klang dan Shah Alam dengan ratusan mangsa dipindahkan ke tiga PPS.

Calon Pakatan Harapan Parlimen Sungai Buloh Datuk R Ramanan berbual bersama penduduk ketika bersarapan di Restoran Subang Pit Stop, Kampung Melayu Subang, Shah Alam pada 11 November 2022. Foto Facebook Ramanan Ramakrishnan DR