Calon Muda hasrat angkat suara, aspirasi belia

Politics
6 Nov 2022 • 7:01 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KUALA LUMPUR: Ramai calon muda yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyatakan hasrat untuk memperjuangkan suara dan aspirasi anak muda, selain menyelesaikan isu di kawasan masing-masing sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat.

Seorang daripadanya, calon PH-PKR bagi kerusi Parlimen Arau Fathin Amelina Fazlie, 28, bertekad memberi fokus kepada isu pendidikan, taraf hidup dan idea pembangunan ekonomi setempat bagi mengubah nasib rakyat, khususnya golongan B40 yang terdiri daripada nelayan dan juga petani.

“Saya bertanding kerana Allah dan ingin berbakti kepada golongan kurang bernasib baik terutama golongan wanita, petani, nelayan dan pelajar yang menghadapi isu kewangan. Saya juga bercita-cita untuk membawa perubahan kepada ekonomi negeri Perlis.

“Sebagai muka baru, saya akan berhadapan dengan stigma orang lama yang terdiri daripada pengundi dan pemain politik veteran yang kurang percaya dengan kredibiliti calon muda, namun saya telah bersedia dari segi mental dan fizikal untuk mulakan perjuangan demi masa depan rakyat negeri ini,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Fathin Amelia berdepan saingan tiga penjuru di kerusi Parlimen Arau melibatkan dua nama besar iaitu tokoh korporat Datuk Rozabil Abdul Rahman (BN-Umno) dan penyandang kerusi Parlimen Arau Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-PAS).

Di KEDAH, calon PH Parlimen Sungai Petani Mohamed Taufiq Johari, 26, bersemangat untuk mempertahankan kerusi kawasan itu yang sebelum ini disandang bapanya Datuk Johari Abdul selama tiga penggal.

Katanya beberapa isu di kawasan Sungai Petani menjadi fokusnya termasuk masalah bekalan air, kesesakan lalu lintas, merancakkan industri pelancongan setempat dan permerkasaan ekonomi belia.

“Sungai Petani mempunyai segala 'ramuan' yang diperlukan untuk menjadi sebuah kawasan yang maju, tetapi kita hanya memerlukan seorang 'chef' untuk menjayakannya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mohammed Taufiq (PH-PKR) akan bersaing dengan Datuk Shahanim Mohamad Yusoff (BN-Umno), Datuk Marzuki Yahya (GTA-Pejuang), Dr Robert Ling Kui Ee (PN-Bersatu) dan Tan Chow Kang @ Tan Joon Long (Parti Rakyat Malaysia).

Di TERENGGANU, calon Parlimen Dungun Nurhisam Johari, 40, berkata beliau mempunyai misi untuk membawa pembaharuan kepada kawasan itu sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada 19 Nov ini.

“Saya ingin membawa pembaharuan untuk Dungun selepas sekian lama kita dapat wakil rakyat daripada 'sebelah sana'. Saya juga ada terima keluhan anak muda mengenai kurangnya peluang pekerjaan di Dungun, ditambah pula dengan kos sara hidup yang tinggi dan sebagainya.

“Kita ada strategi untuk bantu anak muda dan mereka (anak muda) ingin lihat apa BN akan tawarkan. Setakat ini saya tidak boleh beri apa-apa janji, kita perlu lihat dahulu manifesto BN pusat, saya ingin selaraskan apa yang boleh ditawarkan kepada rakyat Dungun berpandukan manifesto BN itu nanti,” katanya.

Nurhisam (BN-Umno) terlibat dalam pertembungan lima penjuru membabitkan Wan Hassan Mohd Ramli dari Perikatan Nasional (PN-PAS), Datuk Dr Mohd Johari Mohamad (PH-PKR), Noraisah Hasan (GTA-Pejuang) dan Ghazali Ismail (Bebas) pada pentas PRU bagi kerusi Dungun.

Di Kuala Terengganu, Ketua Penerangan PAS Negeri, Hishamuddin Abd Karim menafikan dakwaan parti itu meminggirkan golongan muda sebagai calon di tujuh kerusi Parlimen negeri itu untuk bertanding pada pilihan raya kali ini, sebaliknya mengetengahkan mereka yang berpengalaman, profesional dan bertenaga.

Hishamuddin berkata ini kerana peluang golongan muda dari negeri itu untuk diketengahkan sebagai calon masih cerah termasuk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal diadakan nanti.-Bernama