
ALOR SETAR: Perkembangan ekonomi yang disifatkan agak ketinggalan berbanding bandar raya utama di negeri lain menjadi antara isu yang dijanjikan calon-calon Parlimen Alor Setar untuk diselesaikan.
Calon Barisan Nasional Tan Chee Hiong (gambar) berkata Alor Setar mempunyai potensi dan keupayaan yang harus digembleng untuk dijadikan hab pelancongan selain produk pertanian yang mampu meningkatkan pendapatan penduduknya.
“Kita perlu menjadikan elemen pelancongan yang ada di bandar raya ini sebagai industri penting. Ini bandar bersejarah, kita ada pelbagai produk seperti Pekan Cina, Pekan Melayu, selain Masjid Zahir yang merupakan masjid paling cantik dan sangat bersejarah.
“Kedudukan Alor Setar yang dikelilingi kawasan sawah padi juga amat sesuai dijadikan sebagai hab perdagangan bagi produk pertanian. Kita perlu mencari kaedah untuk kita jual produk pertanian kita,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bagi calon Pakatan Harapan Simon Ooi Tze Min, pembangunan ekonomi di Alor Setar menjadi antara isu yang sering disuarakan penduduk yang mahukan tindakan diambil bagi menyemarakkan aktiviti ekonomi di situ.
Katanya kemajuan ekonomi di Parlimen itu tidak dapat dicapai dengan hanya bergantung kepada pembangunan satu industri tertentu sahaja, sebaliknya semua industri yang boleh menjana pendapatan perlu dibangunkan serentak.
“Terdapat lima teras pembangunan yang akan saya fokuskan dalam pelan merangsang ekonomi di Alor Setar iaitu membangunkan sektor pelancongan, pendidikan, peniaga kecil, perumahan serta pertanian,” katanya.
Sementara itu, calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Datuk Mohamad Nuhairi Rahmat berkata bandar raya Alor Setar memiliki keunikan tersendiri termasuk bangunan lama yang berpotensi menjadi tarikan pelancong.
“Misi utama saya adalah menjadikan Alor Setar sebagai pusat tumpuan pelancong. Ketika ini saya lihat Alor Setar hanya menjadi laluan untuk pelancong menuju ke Kuala Kedah sebelum menaiki feri ke Langkawi, tapi tidak banyak pelancong yang singgah ke sini.
“Jika pelancong ini singgah di Alor Setar ia mampu mendatangkan pendapatan cukup baik khususnya kepada peniaga kecil serta penjaja di bandar raya ini,” katanya.
Parlimen Alor Setar menyaksikan saingan tujuh penjuru antara Tan, Ooi dan Mohamad Nuhairi selain calon Perikatan Nasional Afnan Hamimi Taib Azamudden, calon Warisan Datuk Fadzil Hanafi serta dua calon Bebas Datuk Nordin Yunus dan Sofan Feroza Md Yusup.-Bernama

