Calon PH DUN Silam tarik diri

LocalPolitics
17 Nov 2025 • 12:54 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Calon PH bagi kerusi DUN Silam, Abdul Halim Sidek Gulam Hassan menarik diri daripada bertanding pada PRN Sabah Ke-17.

KOTA KINABALU - Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam, Abdul Halim Sidek Gulam Hassan menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengadakan perbincangan teliti bersama kepimpinan tertinggi PH.

Menurutnya, keputusan itu dibuat sepenuhnya atas kehendak peribadi tanpa sebarang tekanan atau perundingan daripada mana-mana pihak luar.

"Keputusan ini juga dibuat berdasarkan pertimbangan yang matang demi menjaga hubungan baik dan keharmonian bersama-sama rakan kerjasama parti yang lain.

"Saya percaya bahawa perpaduan dan kerjasama antara PH dan parti yang lain adalah lebih penting untuk masa depan politik negeri kita.

"Walaupun saya tidak akan bertanding dalam pilihan raya kali ini, saya tetap komited dan akan terus berusaha untuk memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat di kawasan Silam khususnya, dan Lahad Datu amnya, akan sentiasa terjaga dan terbela," katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.

Beliau menegaskan bahawa perjuangannya untuk rakyat tidak pernah terhenti, dan akan terus menyumbang dalam apa jua kapasiti bagi membangunkan kawasan Silam.

Terdahulu, beliau merupakan salah seorang calon dalam persaingan sembilan penjuru di DUN Silam.