Calon PRN Terengganu disiasat polis

8 Aug 2023 • 1:50 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mazli bercakap kepada pemberita ketika sidang akhbar selepas meninjau proses mengundi awal bagi PRN di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu (IPK). - Foto Bernama

KUALA TERENGGANU - Polis menyiasat seorang calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu mengikut Seksyen 498 Kanun Keseksaan kerana memikat atau membawa pergi atau menahan seseorang wanita yang bersuami dengan niat jenayah.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, siasatan itu dijalankan setelah menerima laporan daripada pengadu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman pada 4 Ogos lalu.

Menurutnya, siasatan itu masih dijalankan dan dijangka selesai dalam tempoh terdekat sebelum tindakan selanjutnya diambil.

"Siasatan terhadap individu berkenaan sedang dijalankan dan telah dipanggil untuk memberikan keterangan.

"Perkembangan terkini akan dimaklumkan sebaik siasatan selesai,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, Mazli tidak memperincikan berkenaan hubungan antara pengadu dan calon terbabit kerana ia masih di peringkat siasatan.

Seksyen 498 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.