Calon Tempatan Hulu Langat Mahu Politik Matang, Ubah Budaya Pemimpin Lama

Politics
15 Nov 2022 • 8:27 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Calon Hulu Langat (P101), Dr Mohd Radzi Abd Latif - Gambar Getaran

HULU LANGAT – Bersaing membawa harapan rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bukan tanggungjawab mudah, apatah kerusi Parlimen diwakili menyaksikan pertandingan enam penjuru.

Situasi itu turut dihadapi calon Perikatan Nasional (PN) Hulu Langat, Datuk Dr Mohd Radzi Abd Latif apabila berdepan cabaran tersendiri untuk membawa nama sebuah parti baharu, malah pertama kali dipertanding pada pilihan raya.

image is not available
Mohd Radzi (bersongkok) sempat beramah mesra dengan penduduk setempat. - Gambar Facebook Dr Mohd Radzi Abd Latif

Bagaimanapun, sebagai anak tempatan Beranang, iaitu sebuah mukim di bawah Hulu Langat, langkah kempennya sedikit mudah kerana dikenali kebanyakan pengundi dan mengetahui status setempat.

Malah, sebagai penduduk di kawasan sama, pastinya beliau benar-benar memahami kehendak dan masalah komuniti setempat.

Ketika ditemui Getaran di Beranang dan Semenyih baru-baru ini, Mohd Radzi giat menjalankan aktiviti turun padang untuk mendengar keluh kesah serta harapan rakyat kawasan itu.

Namun, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan PN Hulu Langat sempat meluangkan masa untuk berkongsi cerita mengenai kehidupannya sebagai ‘anak kampung’ di situ dan perjuangan ingin diusahakan demi pengundi.

Pada pertemuan itu, Mohd Radzi turut meluah rasa kecewa dengan pembangunan perlahan didepani Hulu Langat sejak lebih 60 tahun lalu, walaupun ‘hari dan janji silih berganti’.

“Di zaman saya membesar dulu, ada beberapa perkara kadang-kadang tersentuh pada hati saya untuk bangkit dan membantu rakyat, contohnya waktu kecil di kampung kami di tahun 60an. (Ada) Satu sahaja kereta Cikgu Rahmat, kalau sakit tengah malam, kami akan pergi rumah cikgu, kemudian minta dihantar ke hospital.

“Hospital paling hampir di Kajang, (malah) hari ini masih tak berubah, cuma kereta lebih banyak sahaja lah, kalau ada yang sakit, hospital kerajaan paling hampir pun di Kajang, itu menghairankan saya.

“Sudah tukar ganti wakil rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan sebagainya, perkara begini yang begitu penting kenapa tak diselesaikan, saya tak mahu janji apa-apa ya tapi ini adalah isu patut diambil perhatian,” katanya.

image is not available
Langkah kempennya mudah kerana dikenali kebanyakan pengundi dan mengetahui status setempat. - Gambar Getaran

Mohd Radzi berkata, sepanjang berkempen, beliau turut menerapkan slogan yang dekat di hati penduduk setempat, iaitu B.E.S.T.

“Ia (B.E.S.T) merangkumi Bebas Banjir dan Kesesakan Lalu Lintas, Ekonomi Makmur Usahawan Prihatin, Sejahtera Rumah Tangga Pembelaan Wanita serta Terbaik Melalui Anak Muda Menerusi Agenda 3K (kewangan, kerjaya dan keusahawanan),” katanya.

Menurut pemegang Ijazah Doktor Falsafah Pentadbiran Perniagaan (DBA) Southern Cross University Queensland, Australia itu, tidak banyak perbezaan diperoleh Hulu Langat, berbanding bandar di sekitarnya, walaupun wujud pembangunan dan perumahan.

Justeru, beliau berharap kehadirannya di situ sebagai calon dihargai dan menjadi pilihan pengundi bagi membolehkannya memfokuskan usaha membangunkan Hulu Langat, termasuk mencorak wawasan lebih unggul serta jelas.

Menganggap wakil rakyat yang pernah ‘dimiliki’ penduduk Parlimen itu mengetengahkan demokrasi belum matang, Mohd Radzi menyifatkan ia sama seperti apa dilihat ketika beliau kecil.

image is not available
Beliau turut memfokuskan usaha untuk membangunkan Hulu Langat, termasuk mencorak wawasan lebih unggul serta jelas. - Gambar Getaran

“Masa kecil dulu, kalau (pemimpin) nak memikat hati anak muda untuk meraih undi, mereka akan menaja main bola sepak, t-shirt, jersi dan sebagainya, lepas itu dapat undi.

“Itu sahaja yang mereka beri pada anak muda, cerita nak hapuskan pengangguran dalam kalangan anak muda tidak pun menjadi agenda wakil rakyat dan pada hari ini, semua masih lagi berperangai sama.

“Mereka memikirkan bagi beras, goodies boleh dapat sokongan, jadi kita tidak mendidik satu generasi pengundi berwawasan tinggi yang sudah tentu secara sasaran jangka pendek kita akan menang, tapi bagi masa depan, ia merugikan negara dan rakyat,” katanya.

Di sebalik apa disuarakan itu, Mohd Radzi diyakini mampu membawa perubahan di Hulu Langat kerana bergiat aktif dalam tujuh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), iaitu Pengasas Islah Global Foundation, Pengasas Gagasan Badan Ekonomi Melayu (GABEM), Pengarah Akademi Digital Rakyat dan Pengerusi Gagasan Profesional Melayu Malaysia.

Pada masa sama, beliau turut menyandang jawatan Pengerusi International Chamber of Muslims Professionals, Pengerusi Kelab Sukarelawan Masjid dan Pengerusi Pertubuhan Briged Al-Ikhlas Perdana Hulu Langat. – Getaran, 15 November 2022