Campbell Tarik Semula Produk Sos Pasta Berkrim Carbonara Jenama Prego – KKM

23 Dec 2022 • 3:32 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Campbell Tarik Semula Produk Sos Pasta Berkrim Carbonara Jenama Prego – KKM

Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan bahawa syarikat Campbell Cheong Chan (M) Sdn. Bhd telah menarik semula produk sos pasta berkrim carbonara cendawan jenama Prego keluaran Malaysia kerana didapati telah rosak.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah, penarikan semula itu dibuat selepas terdapat tanda-tanda kerosakan seperti bau tidak menyenangkan, warna berubah, rupa berair dan lapisan cecair yang terpisah kepada produk berkenaan.

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan turut menerima notifikasi dari syarikat Campbell Cheong Chan (M) Sdn. Bhd. yang mengesahkan produk tersebut turut dijual di Malaysia.

“Pihak syarikat telah mengenalpasti punca kerosakan produk tersebut disebabkan kesilapan semasa pemprosesan dan sedang dalam proses penarikan balik produk terlibat di pasaran secara sukarela.

“Produk yang terlibat dalam penarikan balik adalah Prego Sos Pasta Berkrim Carbonara Cendawan (665 gram) dengan nombor batch 2022081716 bertarikh luput 17 Ogos 2023 dan kod masa 22:18 hingga 23:20,” kata Dr Noor Hisham.

Bahagian keselamatan dan Kualiti makanan juga sedang memantau proses penarikan semula penjualan produk berkenaan di pasaran Malaysia.

Dalam pada itu, KKM juga menggesa penjual untuk menghentikan penjualan produk berkenaan dengan serta-merta. Manakala bagi pengguna yang sudah membeli produk tersebut hendaklah tidak memakan produk berkenaan.

Bagi mereka yang sudah mengambilnya pula diminta untuk berjumpa dengan pegawai perubatan sekiranya mengalami masalah kesihatan seperti gejala keracunan makanan cirit-birit dan muntah-muntah.

KKM juga menyarankan orang ramai untuk mengamalkan prinsip Lihat, Hidu dan Rasa bagi mencegah kejadian keracunan makanan.

“KKM sentiasa peka dan prihatin ke atas perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

“Sebarang maklumat atau kemusykilan berhubung isu ini, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat, menyalurkan melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman Facebook rasmi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di www.facebook.com/bkkmhq, ” tambah beliau lagi.