KUALA LUMPUR - Sindiket yang menjadikan gudang menyimpan karkas babi dengan pelbagai daging sejuk beku lain sebelum dipotong dan dibungkus semula di Kajang dibongkar baru-baru ini.
Serbuan Op Taring Chiller bermula kira-kira jam 8 malam digerakkan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Perbandaran Kajang (MPK) serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kuala Lumpur.
Pengarah JKDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, serbuan pada 14 dan 15 Mei itu bertindak merampas 167,143.72 kilogram (kg) daging sejuk beku bernilai RM12.4 juta.
Menurutnya, mengikut pecahan, rampasan membabitkan 4,840 karton kotak karkas khinzir, 410 karton kepak ayam serta 115 karton kotak itik.
"Polis telah menahan lima lelaki iaitu seorang tempatan dan empat Myanmar berusia lingkungan 21 hingga 43 tahun disyaki berperanan sebagai penjaga stor, pemandu dan penghantar.
"Selain itu, pelbagai barang kes juga disita antaranya dokumentasi transaksi, kenderaan, peralatan pemindahan serta aset-aset lain yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut," katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini pada Isnin.
**media[3524916]**
Beliau berkata, modus operandi sindiket yang telah aktif sejak empat tahun lalu ialah menyeludup masuk dagangan itu melalui selatan tanah air dan daging berkenaan dipercayai dari negara China, Brazil serta Argentina.
Katanya, premis terbabit juga beroperasi bagi membuat pembungkusan semula daging sejuk beku terbabit sebelum diedar di pasaran tempatan.
"Siasatan awal mengesan aktiviti memotong daging dan membungkus semula serta menggunakan jenama yang pelbagai," ujarnya.
Tambahnya, polis masih menyiasat dengan mendalam lokasi pengedaran sama ada melibatkan pasar raya atau restoran.
Dedah beliau, sindiket juga berselindung di sebalik perniagaan makanan sejuk beku dengan menjalankan aktiviti produk import yang tidak diiktiraf dan kegiatan pencampuran produk halal serta tidak halal.
"Polis percaya kegiatan ini didalangi sindiket yang mempunyai rangkaian tertentu dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan dalang utama, pemodal serta mana-mana individu lain yang terlibat," ujarnya.
Katanya lagi, siasatan mendapati syarikat terbabit berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sehingga 5 April 2031 bagi menjalankan aktiviti logistik dan sejuk beku.
"Premis bagaimanapun tidak mempunyai lesen menjalankan aktiviti penyimpanan atau pemprosesan sejuk beku," ujarnya.
Kes disiasat Seksyen 5 Akta Binatang 1953, Perenggan 5(2) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan Perenggan 3(1)(g) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011, Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 3 Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPK.
Dalam perkembangan lain, bermula Januari hingga 15 Mei lalu, Op Taring Chiller yang dijalankan WCB/PSK telah merekodkan lapan kes dengan 52 tangkapan membabitkan rampasan bernilai RM15.1 juta.
Bagi keseluruhan kes yang direkodkan JKDNKA bagi tempoh sama pula, Mohd Yusri berkata, 88 kes dicatatkan dengan tangkapan 153 individu serta bernilai kira-kira RM157.39 juta.


