CAMU mahu bincang isu pindaan RUU Kesatuan Sekerja dengan Menteri Sumber Manusia baharu
zulfadli
22/12/2023 - 16:07
KUALA LUMPUR 22 Dis - Gabungan Membantah Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (CAMU) berharap Menteri Sumber Manusia yang baru dilantik, Steven Sim Chee Keong bersetuju mengadakan satu pertemuan dengan CAMU bagi mendengar penjelasan berkenaan implikasi dan kesan negatif sekiranya Rang Undang Undang (RUU) D.R.30/2023 Akta Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2023 dilaksanakan sepenuhnya nanti.
Pengerusi CAMU, Rudy Rusly berkata, ia sepertimana perjuangan CAMU sejak awal 2022, iaitu membantah sebahagian daripada RUU tersebut terutamanya berkaitan dengan pindaan yang membenarkan kepelbagaian kesatuan sekerja di satu tempat kerja dan kuasa lebar luas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS).
Beliau berkata, bantahan itu sehingga hari ini diteruskan walaupun Dewan Rakyat meluluskan RUU tersebut pada 10 Oktober 2023 dan diikuti kelulusan di Dewan Negara pada 28 November 2023.
Katanya, pentadbiran Kementerian Sumber Manusia di bawah tadbir urus V Sivakumar, bekas menteri sumber manusia yang lepas tidak memainkan peranan yang wajar dalam mendengar kepada saranan dan keluhan penting pekerja Malaysia yang disampaikan oleh CAMU.
"Saranan CAMU kepada Steven Sim selaku menteri sumber manusia yang baru ini seperti mana kenyataan beliau di dalam kenyataan medianya, dalam era menstruktur semula ekonomi dalam kerangka Malaysia MADANI, fokusnya ialah pembangunan kemahiran, kebajikan pekerja dan produktiviti secara amnya.
"Maka, CAMU berpendapat dan menyarankan kepada beliau agar sebahagian daripada pindaan RUU D.R.30/2023 Akta Kesatuan Sekerja (Pindaan) 2023 dapat ditangguhkan sehingga perbincangan secara holistik dan komprehensif dapat diadakan bersama CAMU," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Rudy berkata, sekiranya RUU itu dilaksanakan, maka ia akan menjadikan pekerja-pekerja Malaysia menjadi mangsa kepada eksploitasi dan mengancam pembangunan ekonomi dan kesejahteraan Malaysia.

"Steven Sim perlu meneliti semula usaha yang dilakukan sebelum ini dan melihat kepada perancangan masa depan pekerja Malaysia yang lebih baik sebagai nadi dan pengerak ekonomi negara yang lebih mampan," katanya.
Terdahulu, CAMU menzahirkan ucapan tahniah dan kepada Steven Sim di atas perlantikan sebagai menteri sumber manusia, baru-baru ini.
"Semoga dengan perlantikan baru ini, beliau akan terus bertekad untuk mengangkat martabat pekerja Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.
Katanya, pihaknya berharap agar semangat dan kata-kata beliau untuk 'berdiri bersama pekerja' selepas mengimbas kad perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugas rasmi di Kementerian Sumber Manusia pada 13 Disember 2023 akan terus dikotakan dan memberikan manfaat berterusan kepada hampir 16 juta pekerja di Malaysia. - DagangNews.com

