Canal City: Khir Toyo digesa kemuka bukti, jawab rekod pentadbiran

LocalPolitics
6 Nov 2026 • 2:17 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Canal City: Khir Toyo digesa kemuka bukti, jawab rekod pentadbiran

SHAH ALAM, 6 NOV: Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo digesa menjawab rekod pentadbirannya sendiri sebelum menyalahkan Kerajaan Negeri berhubung pembatalan projek Canal City yang didakwa mampu mencegah banjir.

Setiausaha Politik Dato' Menteri Besar, Saifuddin Shafi Muhammad menegaskan dakwaan Khir itu perlu disokong bukti teknikal, termasuk laporan kejuruteraan yang membuktikan keberkesanan projek berkenaan serta kesannya terhadap kawasan hiliran.

Menurutnya, pembatalan Canal City tidak boleh dijadikan alasan kepada setiap kejadian banjir tanpa bukti yang dapat mengesahkan kaitan antara kedua-duanya.

“Rakyat berhak mendapat penjelasan yang lengkap, bukannya gambaran bahawa sebuah projek yang dibatalkan menjadi punca segala bencana selepasnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata keputusan membatalkan Canal City pada 2010 dibuat berdasarkan kajian Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor yang mendapati kapasiti kolam takungan sedia ada ketika itu mencukupi.

Katanya, dapatan itu dijelaskan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) pada 2014, manakala pembatalan projek dipersetujui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Jika Khir mahu mempertikaikan keputusan tersebut, kemukakan analisis kejuruteraan yang menyangkal dapatan berkenaan.

“Mengulang kehebatan cadangan lama tidak membuktikan keberkesanannya,” katanya.

Saifuddin turut membangkitkan hutang Talam berjumlah RM392 juta kepada anak syarikat Kerajaan Negeri seperti direkodkan dalam jawapan rasmi Dewan Negeri Selangor pada 2011.

Beliau mempersoalkan bagaimana tunggakan sebesar itu boleh terkumpul ketika pentadbiran Khir sebelum dilaporkan berjaya dipulihkan melalui penstrukturan aset dan bayaran tunai.

Pada masa sama, beliau mengingatkan Khir bahawa banjir besar pernah melanda TTDI Jaya pada 26 Februari 2006 ketika Selangor masih ditadbir Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, kejadian itu membuktikan masalah banjir sudah berlaku sebelum Canal City dibatalkan, sekali gus menuntut penjelasan lebih menyeluruh daripada bekas Menteri Besar itu.

“Kerajaan hari ini wajib dipertanggungjawabkan terhadap tindakannya, tetapi bekas pentadbir juga mesti menjawab keputusan sendiri.

“Banjir tidak memberi sesiapa lesen untuk mencuci rekod,” tegasnya.

Sehubungan itu, Saifuddin mencabar Khir mengemukakan laporan kebolehlaksanaan, pecahan kos dan sumber pembiayaan Canal City bagi membolehkan keberkesanan serta implikasi kewangan projek tersebut dinilai.

Terdahulu, Khir mendakwa projek Canal City yang dicadangkan ketika pentadbirannya membabitkan terusan sepanjang 18 kilometer menghubungkan Sungai Klang dan Sungai Langat.

Beliau mendakwa projek itu mampu melindungi Shah Alam daripada banjir besar untuk tempoh 100 tahun, namun dibatalkan selepas perubahan pentadbiran Kerajaan Negeri pada 2008.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved