
BARU berusia 19 tahun, nama Dania Iza kini meniti di bibir peminat seni tanah air selepas bakatnya mula dicungkil menerusi siri drama popular Rona Bosphorus.
Malah, impak lakonannya dalam naskhah tersebut berjaya mencetuskan fenomena luar biasa sehinggakan tular dalam kalangan peminat di negara jiran, Indonesia.
Pemilik nama sebenar Dania Iza Hijazi Ahmad Ridhaudin yang juga pemenang Miss Kuala Lumpur 2024 ini sering mendapat jolokan 'beauty with brains' kerana bijak berkata-kata dan aktif dalam bidang pengacaraan serta forum.
Kehadirannya dalam industri hiburan bukan bersandarkan rupa semata-mata, sebaliknya membawa pakej lengkap yang diyakini mampu memberi warna baharu kepada landskap seni lakon komersial tempatan.
Melonjakkan lagi portfolio seninya, anak jati Kajang, Selangor itu kini diberi kepercayaan besar oleh syarikat produksi NS Star Sdn Bhd untuk menggalas tanggungjawab berat sebagai teraju utama.

Menyarung uniform anggota penyelamat, Dania tampil menerajui watak penting dalam drama rantaian baharu bergenre aksi bertemakan bomba berjudul PB Orked yang sedang rancak menemui penonton menerusi saluran TV2.
Naskhah tersebut mengisahkan tentang perjuangan, konflik kekeluargaan, dan pencarian cinta seorang wanita cekal bernama Orked, yang terpaksa mengharungi ranjau dunia moden serta cabaran kerjaya lasak demi mempertahankan prinsip serta maruahnya.
Lakukan sendiri babak aksi
Demi menghidupkan watak anggota penyelamat dengan berkesan, Dania mengakui dia perlu melalui fasa latihan fizikal yang amat mencabar dan menuntut pengorbanan yang tinggi.
"Watak Orked sangat menuntut ketahanan fizikal dan mental disebabkan elemen aksi penyelamatan yang realistik. Ini merupakan satu fasa baharu yang sangat mencabar.

"Namun saya tekad untuk terus belajar demi memberikan yang terbaik kepada peminat dan industri kreatif negara," katanya.
Kemunculan dalam drama ini disifatkan sebagai titik tolak penting untuknya menimba ilmu serta bersedia menyertai cabaran industri seni yang lebih kompetitif pada masa hadapan.
Di sebalik watak mencabar tersebut, gadis tersebut sebenarnya memang memiliki latar belakang yang sangat dinamik dan sukakan aktiviti lasak.
Disebabkan imejnya yang aktif dan mempunyai stamina yang tinggi, dia pernah dipilih terlibat dalam inisiatif nasional berskala besar seperti kempen Tabik Wira Kita dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Kelebihan ketahanan mental itulah yang memudahkannya melakukan sendiri babak aksi di set penggambaran tanpa kekok.
Selain tangkas di lapangan, dia juga sangat berbakat dalam dunia pidato, pengacaraan program gaya hidup TROLB (Super Sunday), serta mempunyai portfolio kukuh selama tiga tahun dalam bidang peragaan sehingga ke peringkat antarabangsa di Beijing, China.
Mempunyai kelebihan daripada segi rupa paras, bakat semula jadi, dan kekuatan mental, Dania Iza optimis untuk terus mengukuhkan posisinya dan mewarnai pentas seni tempatan dengan gaya tersendiri.

