
BUKAN semua tempat makan mampu membuatkan pelanggan datang semula hanya kerana satu menu.
Namun, bagi penggemar hidangan berasaskan kambing, restoran Ya Salam di Setia Alam mempunyai tarikan tersendiri yang sukar ditolak.
Bukan sekadar menawarkan capati dan kari kambing biasa, restoran ini berjaya mencuri perhatian ramai menerusi menu signatur Capati rusuk kambing Afghanistan yang terkenal dengan gabungan capati lembut dan kuah kari pekat penuh aroma rempah.
Malah, keistimewaan tekstur capatinya yang dikatakan kekal lembut walaupun selepas beberapa hari menjadi antara faktor yang membuatkan ramai pelanggan sanggup datang dari jauh semata-mata untuk merasainya sendiri.
Mengangkat tagline ‘lembut walaupun 3 hari’, restoran ini membuktikan bahawa kualiti bahan dan ketelitian dalam penyediaan makanan mampu mencipta identiti tersendiri dalam dunia kulinari yang semakin kompetitif.
Di sebalik kejayaan restoran tersebut berdiri seorang usahawan yang tidak pernah melupakan akar permulaannya.
Pengasasnya, Mohamad Abdussalam Idris, 38, mengakui minat mendalam terhadap dunia makanan sudah berputik sejak usia muda hasil pendedahan yang diterimanya daripada arwah ayah.
"Saya mendapat suntikan semangat dari Allahyarham ayah yang juga seorang peniaga capati di Padang Matsirat, Langkawi. Resepi ini saya pelajari dari beliau dan saya juga banyak membantunya di gerai.
"Sebelum ini saya pernah mambuka gerai di Alor Setar dan beberapa kawasan lain sehinggalah saya berjaya membuka restoran di Setia Alam," katanya selepas majlis perasmian restoran tersebut baru-baru ini.

Menurut Abdussalam, restoran yang kini dikenali sebagai Ya Salam itu turut melalui proses penjenamaan semula bersempena namanya sendiri sebagai langkah memperkukuhkan identiti perniagaan.
Walaupun konsep yang diketengahkan cukup sederhana, fokus terhadap satu hidangan utama yang berkualiti ternyata menjadi formula kejayaan restoran berkenaan.
Kelembutan capati jadi bualan
Capati dijadikan nadi utama menu sebelum dipadankan dengan pelbagai jenis kari yang dimasak menggunakan campuran rempah khas bagi menghasilkan rasa autentik dan memikat selera.
Jika ada satu hidangan yang wajib dicuba di sini, tentunya capati rusuk kambing. Menu yang menjadi kegemaran ramai itu menampilkan capati lembut yang dihidangkan bersama rusuk kambing dimasak perlahan dalam kuah kari pekat dan berempah.
Keistimewaannya terletak pada tekstur daging rusuk yang begitu lembut sehingga mudah tertanggal daripada tulang.
Setiap suapan pula menawarkan gabungan rasa rempah yang seimbang, menjadikannya antara menu yang sering menjadi sebutan pelanggan.
Selain hidangan signatur tersebut, pelanggan turut mempunyai banyak pilihan lain seperti capati kari kambing, capati kari ayam, capati Keema daging, capati sardin, nasi Arab kambing, nasi Arab ayam serta sup kambing.
Kepelbagaian menu memberi ruang kepada pelanggan untuk memilih hidangan mengikut cita rasa masing-masing sama ada lebih menggemari kambing, ayam mahupun daging.
"Kami juga menawarkan menu baharu seperti kuzi kambing dan capati kari tengkuk kambing yang mendapat sambutan ramai disebabkan isi dagingnya yang lebih manis," tambahnya.
Dalam lambakan restoran yang menawarkan hidangan serupa, premis tersebut berjaya menonjol kerana satu perkara yang sering diperkatakan pelanggan iaitu kelembutan capatinya.
Ramai pengunjung dan pengulas makanan di media sosial memuji tekstur capati yang bukan sahaja lembut ketika dihidangkan, malah masih mengekalkan kualitinya selepas beberapa hari. Keistimewaan itu menjadikan capati di sini berbeza daripada kebanyakan capati yang terdapat di pasaran.
Apabila dipadankan dengan kuah kari kambing yang pekat dan kaya rempah, setiap gigitan menghasilkan keseimbangan rasa yang cukup memuaskan. Tidak hairanlah ramai pelanggan mengakui hidangan tersebut menjadi antara sebab utama mereka kembali berkunjung.
Walaupun capati rusuk kambing menjadi tarikan utama, ramai pelanggan turut menyifatkan nasi Arab di restoran ini sebagai menu yang tidak boleh dipandang sebelah mata.
Dimasak menggunakan campuran rempah aromatik yang membangkitkan selera, nasi tersebut disajikan bersama pilihan kambing atau ayam yang dimasak sempurna

Gabungan rasa yang seimbang menjadikannya alternatif menarik bagi mereka yang mahukan hidangan lebih mengenyangkan.
Malah, ada pelanggan yang menganggap nasi Arab di Ya Salam sebagai antara menu wajib cuba selain Capati Rusuk Kambing yang terkenal itu.
Selain keenakan hidangan yang ditawarkan, suasana restoran yang santai dan mesra keluarga turut menjadi nilai tambah buat pelanggan.
Terletak di kawasan komersial Setia Alam yang mudah diakses, restoran ini sesuai dijadikan lokasi makan petang, makan malam atau sesi santai bersama keluarga dan rakan-rakan.
Dengan waktu operasi bermula sekitar jam 3 petang hingga lewat malam, ia menjadi pilihan ramai yang mencari hidangan ringkas tetapi mengenyangkan selepas seharian bekerja.

