Capital A terima AS$150 juta pinjaman berjangka lima tahun bagi kos selenggara, modal kerja AirAsia
diyana
03/10/2023 - 17:44
KUALA LUMPUR 3 Okt - Capital A Berhad telah menerima kemudahan pinjaman berjangka lima tahun sehingga AS$150 juta (RM708.52 juta) yang ditawarkan oleh sebuah institusi kewangan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Capital A berkata anak syarikatnya, AirAsia Berhad telah menerima pinjaman tersebut bagi membiayai kos penyelenggaraan pesawat dan enjin serta keperluan modal kerja.
Menurut syarikat penerbangan berstatus Nota Amalan 17 (PN17) itu, pinjaman berjangka dijamin oleh, antara lain, jaminan korporat daripada Capital A, yang akan kekal sepanjang tempoh pinjaman tersebut.
“Lembaga pengarah syarikat setelah mempertimbangkan semua aspek pinjaman berjangka, dengan pendapat bahawa pinjaman berjangka adalah dalam urusan perniagaan biasa dan demi kepentingan terbaik kumpulan,” katanya.
Pinjaman berjangka ini tidak tertakluk kepada kelulusan pemegang saham.
Menurut Capital A, Bank Negara Malaysia pada 19 September 2023 telah meluluskan permohonan AirAsia untuk pinjaman berjangka di bawah polisi pertukaran mata wang asingnya.
Saham Capital A ditutup rendah pada 96 sen hari ini, turun 1.5 sen atau 1.5% dengan permodalan pasarannya bernilai RM4.05 bilion. - DagangNews.com



