hamden27/07/2026 - 18:11 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 27 Julai - CapitaLand Malaysia Trust (CLMT) mencatatkan prestasi kewangan lebih kukuh bagi separuh pertama 2026 (1H26), dengan pendapatan boleh agih meningkat 24.1% kepada RM89.2 juta berbanding RM71.2 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Prestasi itu turut diterjemahkan kepada peningkatan pengagihan sesaham unit (DPU) sebanyak 7.7% tahun ke tahun (y-o-y) kepada 2.65 sen bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2026.
Dalam kenyataan hari ini, CLMT berkata pendapatan bersih hartanah (NPI) turut berkembang 13.6% y-o-y kepada RM157.8 juta, disokong prestasi lebih baik daripada kebanyakan aset sedia ada serta sumbangan pendapatan daripada pengambilalihan aset industri dan logistik yang diselesaikan pada 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif CapitaLand Malaysia REIT Management Sdn Bhd (CMRM), pengurus CLMT, Yong Su-Lin, berkata prestasi berdaya tahan itu mencerminkan permintaan kukuh terhadap portfolio aset CLMT yang dipelbagaikan serta pelaksanaan strategi pengurusan aset secara proaktif.
Beliau berkata, usaha penyewaan aktif dan penglibatan berterusan bersama penyewa membolehkan CLMT mengekalkan kadar penghunian portfolio keseluruhan pada paras tinggi iaitu 94.4%, walaupun berdepan cabaran persekitaran makroekonomi.
"CLMT akan terus mengambil pendekatan berhemat dalam memperbaharui portfolio dengan memberi tumpuan kepada pengurusan modal berdisiplin serta strategi pertumbuhan proaktif bagi memastikan pulangan mampan kepada pemegang unit," katanya.
Sehingga 30 Jun 2026, kadar penghunian portfolio runcit CLMT kekal stabil pada 93.2%, manakala kadar penghunian keseluruhan termasuk aset logistik dan industri berada pada 94.4%.
Portfolio runcit CLMT turut mencatatkan pertumbuhan kadar sewaan semula positif sebanyak 11.6% bagi 1H 2026.
Di The Mines, CLMT sedang melaksanakan inisiatif peningkatan aset (AEI) bagi menaik taraf ruang di sepanjang kawasan terusan serta memperkenalkan konsep pasar raya berkonsepkan gaya hidup di Aras 1.
Projek berkenaan dijangka menampilkan gabungan pilihan makanan dan minuman yang lebih tersusun, aliran pergerakan pengunjung yang dipertingkatkan serta ruang acara sosial baharu bagi mewujudkan pengalaman runcit lebih interaktif.
Kedudukan kewangan kekal terkawal
Dari aspek kewangan, CLMT mengekalkan profil kematangan hutang yang seimbang dengan tempoh purata matang selama 4.2 tahun setakat 30 Jun 2026. Kos purata hutang tahun sehingga kini direkodkan pada 4.21%, manakala nisbah gearan berada pada 38.5%.
Sebanyak 81% daripada jumlah pinjaman CLMT adalah pada kadar faedah tetap, sekali gus mengurangkan pendedahan terhadap turun naik kadar faedah.
CLMT mengumumkan pemegang unit akan menerima pengagihan pendapatan sebanyak 2.65 sen seunit bagi tempoh 1 Januari 2026 hingga 30 Jun 2026, yang dijangka dibayar pada September 2026.
Lembaga Pengarah CMRM turut memilih untuk melaksanakan Pelan Pelaburan Semula Pengagihan bagi pengagihan pendapatan 1H 2026.
Melalui pelan itu, pemegang unit boleh memilih sama ada menerima pengagihan sepenuhnya dalam bentuk tunai atau melabur semula sebahagian pengagihan tersebut dalam unit baharu.
Tarikh tutup buku dan tarikh pengagihan pendapatan akan diumumkan selepas memperoleh kelulusan kawal selia yang berkaitan. - DagangNews.com






