Captain America: Brave New World Kekal Aksi Mengujakan

EntertainmentMovie
18 Feb 2025 • 5:41 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Kehebatan siri filem Marvel terus mencuri tumpuan ramai, dan dengan kemunculan terbaharu Captain America: Brave New World, filem genre ini sekali lagi membuktikan kenapa ia menjadi kegilaan di kalangan peminat adiwira.

Setelah peristiwa dalam Avengers: Endgame, Steve Rogers telah menyerahkan gelaran Captain America kepada Sam Wilson dan kini kita dapat melihat Sam memikul tanggungjawab besar ini dalam filem terbaharu ini. 

image is not available

Captain America: Brave New World membawa penonton ke dalam dunia yang lebih kompleks, di mana Sam berusaha menyesuaikan diri dengan peranannya yang baru sebagai hero ikonik, sambil berhadapan dengan ancaman baharu yang lebih berbahaya.

Filem kali ini memperkenalkan Falcon yang baharu iaitu rakan tentera Sam sendiri bernama Joaquin Torres yang sama-sama membantu Sam membanteras kejahatan. 

Selain itu, filem ini menyaksikan kehadiran seorang penjahat baharu iatu Dr Samuel Sterns yang cuba memanipulasi kuasa dunia melalui presiden Amerika Syarikat terbaharu iaitu Thaddeus Ross lakonan Harrison Ford. 

Dalam usaha membongkar plot Dr Sterns, Sam terpaksa berhadapan dengan pelbagai ancaman politik serta musuh-musuh dengan kuasa hebat yang lain. Ini termasuk the Red Hulk yang merupakan versi jahat Incredible Hulk yang asal.

image is not available

Selain cabaran-cabaran yang dihadapi Sam, filem ini turut menyentuh tema keberanian dan identiti, di mana Sam bukan sahaja berjuang untuk menjadi Captain America, tetapi juga mencari tempatnya dalam dunia yang seringkali penuh dengan ketidakpastian. 

Lakonan Anthony Mackie sebagai Sam Wilson sangat menyerlah, dengan setiap pergelutan batin dan fizikalnya dapat dirasai penonton. 

Menarik juga menyaksikan Captain America baharu ini yang mampu terbang kerana masih menggunakan sayap seperti waktu dirinya bergelar Falcon sebelum ini.

Tidak lupa juga, kehadiran tokoh-tokoh seperti Sidewinder dan Isaiah Bradley memberikan lapisan yang lebih pada cerita, memberikan penonton perspektif yang lebih luas mengenai heroisme dalam pelbagai bentuk.

image is not available

Kesan aksi yang mendebarkan turut menjadi kekuatan utama dalam filem ini. Adegan-adegan pertarungan yang mencemaskan pasti akan memuaskan hati peminat aksi. Ditambah dengan elemen politik yang relevan, filem ini tidak hanya tentang aksi semata-mata, tetapi juga sebuah penceritaan yang menyentuh isu-isu sosial dan moral.

Dengan kehadiran watak-watak baru yang menarik dan penampilan luar biasa dalam setiap babak, Captain America: Brave New World bukan sahaja sebuah filem aksi yang seronok untuk ditonton, tetapi juga sebuah perjalanan yang mengajak penonton untuk memikirkan maksud sebenar menjadi seorang hero.

Biarpun ia pasti akan dibandingkan dengan filem-filem dunia marvel sebelum ini, khasnya filem-filem Captain America lakonan Chris Evans terdahulu, ia masih mampu menggembirakan peminat Marvel dan mengukuhkan lagi kedudukan Captain America sebagai salah satu ikon paling disegani dalam dunia filem adiwira.

Namun semuanya tergantung pada apa yang dicari penonton. Jika mahukan lebih banyak watak dan aksi bersulam kesan visual hebat seperti filem Captain America sebelumnya, ia mungkin akan mengecewakan sesetengah peminat tetapi jika hanya ingin berhibur menyaksikan filem aksi sains fiksyen, kami yakin anda akan turut terhibur.

Captan America : Brave New World sudah mula ditayangkan di semua pawagam seluruh Malaysia. - Getaran, 18 Februari 2025

View Original Article