Cara Afdal Pembahagian Daging Korban, Jangan Keliru

14 Jun 2024 • 8:23 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Hukum melaksanakan ibadah korban bagi mazhab Syafi’ie ialah sunat muakad iaitu amat dituntut dan digalakkan. – Gambar fail

Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha atau Hari Raya Korban tahun ini, pasti ramai yang mengambil peluang melakukan ibadah korban bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT. 

Hukum melaksanakan ibadah korban bagi mazhab Syafi’ie ialah sunat muakad iaitu amat dituntut dan digalakkan. Jadi, jika anda berkemampuan adalah amat digalakkan untuk melakukan ibadah ini bagi membantu golongan memerlukan.

Jika memilih untuk menyertai ibadah korban yang dianjurkan oleh mana-mana pertubuhan bukan kerajaan atau badan amal, isu pengagihan daging sembelihan pasti tidak menjadi isu kerana semua urusan pembahagian dilakukan oleh pihak terbabit. 

Namun, jika anda di antara mereka yang melakukan ibadah korban secara sendiri seperti bersama ahli keluarga di kampung, pembahagian daging korban mungkin ada masalah jika anda tidak benar-benar faham dengan cara pengagihannya. 

Merujuk laman sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, sekiranya haiwan korban tersebut merupakan korban sunat, maka sunat juga baginya untuk memakan sebahagian daripada daging haiwan korban tersebut. Bagaimanapun, harus hukumnya kesemua daging itu diagihkan kepada orang lain. 

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Jabir RA, bahawa Baginda SAW telah melakukan korban:

فَنَحَرَ ثَلَاثًا وَسِتَّينَ بَدَنَةً بِيَدِهِ ثُمَّ أَعْطَى عَلِيًّا فَنَحَرَ مَا غَبَرَ وَأَشْرَكَهُ فِي هَدْيِهِ ثُمَّ أَمَرَ مِنْ كُلِّ بَدَنةبِبَضْعَةٍ فَجَعَلَتْ فِي قِدرٍ فَطَبَخَتْ فَأَكَلَا مِن لَحْمِهَا وَشُرْبَا مِن مَرْقِهَا

Maksudnya: Baginda SAW menyembelih 63 ekor unta, kemudian Baginda SAW memberikan kepada Ali Ibn Abi Talib untuk menyembelih apa yang terbaki. Lalu Baginda SAW menyuruh supaya bagi setiap satu unta itu dibahagikan kepada beberapa orang. Kemudian dimasukkan ke dalam periuk lalu dimasak. Setelah itu mereka berdua makan dagingnya dan minum kuahnya. (Hadith riwayat Muslim: 1218).

image is not available
Gambar fail

Menurut pandangan ulama mazhab Syafie, pembahagian daging korban sunat boleh dilakukan berpandukan ketentuan berikut: 

1. Orang yang melakukan ibadah korban disunatkan untuk mengambil 1/3 daripada daging korban tersebut untuk diri sendiri dan 2/3 baki daging diagihkan kepada golongan fakir miskin.

2. Atau, orang yang melakukan ibadah korban mengambil 1/3 daripada daging korban, dan mengagihkan 1/3 daripadanya kepada golongan fakir miskin, serta 1/3 lagi diberikan sebagai hadiah kepada golongan kaya (seperti saudara-mara atau jiran-tetangga). 

Dalam hal ini, memberi sedekah kepada 2/3 kepada golongan miskin lebih afdal daripada memberi hadiah kepada golongan kaya.

Namun cara yang afdal ialah semua daging korban itu disedekahkan dan orang yang melakukan ibadah korban hanya makan sedikit sahaja daripadanya untuk mengambil berkat. 

Ini kerana menyedekahkan keseluruhan daging tersebut merupakan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menjauhkan diri daripada sikap mementingkan diri sendiri. 

Memakan sedikit daripada daging tersebut pula sebagai beramal dengan zahir ayat al-Quran dan mengikut sunnah yang dilakukan oleh Nabi SAW.

Sekiranya haiwan korban tersebut merupakan korban nazar atau korban wajib yang telah ditentukan, maka dia wajib menyedekahkan kesemua daging korban tersebut kepada golongan fakir miskin dan tidak harus untuk dia memakan sebahagian daripadanya.

Berikut adalah perkara sunat ketika melakukan ibadah korban:

  • Menambat ternakan korban ketika Hari Nahar (Hari Nahar ialah hari 10 Zulhijjah).
  • Memberi makanan kepada haiwan korban sebelum disembelih. 
  • Memastikan haiwan tersebut tidak makan makanan yang syubhah seperti makan rumput di kawasan yang bukan milik tuan haiwan korban.
  • Meletakkan tanda serta menutup tubuh haiwan korban supaya dapat merasakan kepentingan korban. 
  • Melakukan penyembelihan korban dengan sendiri. 
  • Membaca Bismillah dan berselawat ke atas Nabi SAW.
  • Menyembelih haiwan dengan mengadap ke arah kiblat. 
  • Menunggu haiwan korban benar-benar mati dan semua anggotanya tidak bergerak lagi  sebelum mula melapahnya. - Getaran, 15 Jun 2024