
Cara Daftar eKasih & Syarat Kelayakan Terkini
Pelbagai bantuan telah diumumkan oleh kerajaan menerusi pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober lalu. Antara yang menarik perhatian tentunya inisiatif Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Seperti yang diketahui, kedua-dua penerima bantuan ini juga turut tergolong dalam rekod eKasih sebagai miskin dan miskin tegar.
Mungkin masih ada yang belum, eKasih adalah Pangkalan Data Kemiskinan Nasional yang diwujudkan bagi merancang, melaksana dan memantau program pembasmian kemiskinan.
Sistem eKasih mempunyai maklumat berkenaan kemiskinan yang bermula dari profil individu, program/bantuan yang diterima oleh Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) daripada agensi pemberi bantuan sehinggalah kepada permohonan bantuan dan pemantauan keberkesanan program atau bantuan yang diterima.
Untuk yang ingin memohon dan mendaftar eKasih, terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan.
Cara daftar eKasih
Pertama, anda boleh hadirkan diri ke Pejabat Daerah atau Pejabat Pembangunan Negeri/ Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri (PPN/PPPN) yang berdekatan untuk mendaftar permohonan.
Kedua, anda boleh mendaftar melalui Pemimpin Tempatan/ Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Persekutuan (JPKKP).
Syarat kelayakan
1. Ketua Isi Rumah (KIR) Warganegara Malaysia
2. Pendapatan isi rumah di bawah Pendakatan Garis Kemiskinan (PGK) semasa
3. Butiran maklumat pemohon yang lengkap
Apabila anda sudah menghantar permohonan, anda boleh menyemaknya di sini. Terdapat empat status daftar yang boleh dilihat ketika anda menyemak permohonan iaitu:
- Disahkan – Telah dibanci
- Disemak – Dalam proses banci
- Ditolak – Tidak layak dibanci
- Baru/daftar terbuka – Permohonan baharu
The post Cara Daftar eKasih & Syarat Kelayakan Terkini appeared first on Siakap Keli.


