
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu
Boleh dikatakan dengan cuaca panas di Malaysia, orang ramai pasti membasuh rambutnya setiap hari bagi menghilangkan peluh dan kotoran.
Lebih-lebih lagi bagi kaum hawa, pelbagai produk yang digunakan untuk memastikan rambut kekal sihat dan bermaya.
Namun tindakan mencuci secara salah boleh menyebabkan rambut menjadi rosak dan berpotensi gugur dengan banyak.
Ini 12 Tabiat Buruk Ketika Mencuci Rambut
Sayang sekali, masih ramai yang melakukan perkara tidak betul apabila mencuci rambut.
Dalam satu perkongsian oleh pusat spa kepala TTE Elephant Headspa di TikTok (@tte.facts_malay), terdapat 12 tabiat buruk yang sering dilakukan apabila mencuci rambut.
#1. Tidak menyikat rambut dahulu
Selalunya orang ramai akan menyikat rambut selepas mandi untuk merapikannya. Tetapi sebenarnya rambut juga perlu disikat sebelum dicuci!
Lebih-lebih lagi apabila baru sahaja bangun di waktu pagi, sikat rambut untuk hilangkan kusut terlebih dahulu. Ini juga dapat menanggalkan kotoran dan habuk yang terlekat pada rambut.
TTE Elephant memberi saranan agar menggunakan sikat bergigi jarang dengan bahagian hujung gigi yang bulat.
#2. Menuang syampu terus ke kepala
Mungkin ada sesetengah orang yang gemar menuangkan syampu terus ke atas kepala.
Namun menurut pusat headspa itu, syampu perlu dituangkan ke atas tapak tangan dan dibuihkan terlebih dahulu sebelum disapu pada kulit kepala.
Katanya bahan kimia akan mudah terkumpul di kulit jika syampu diletakkan terus ke kepala, seterusnya menyebabkan keguguran rambut.

#3. Cuci tanpa basahkan rambut sepenuhnya
Apabila membasuh rambut, pastikan ia dibasahkan sepenuhnya sehingga ke bahagian akar dan kulit kepala, terutamanya bagi mereka yang berambut tebal.
Ini bertujuan untuk membuka liang pori pada kulit kepala bagi membersihkan kotoran dengan sempurna.
#4. Guna air terlalu panas
Suhu air juga memainkan peranan penting apabila mencuci rambut agar kotoran dapat dibersihkan dengan sempurna.
Gunakan suhu air sekitar 38°C untuk mencuci rambut tanpa merosakkan kulit kepala dan menghilangkan minyak semula jadi pada rambut.
Ketika musim sejuk, boleh naikkan sedikit suhu ke sekitar 40°C.

#5. Guna perapi selepas mencuci rambut
Kebanyakan orang mesti akan menggunakan perapi hanya selepas rambut disyampu dan dicuci bersih kan?
Tapi sebenarnya perapi boleh dipakai sebelum rambut dicuci sepenuhnya bagi mengurangkan geseran dan keguguran rambut.
Ingat, perapi cuma dipakai pada bahagian tengah dan hujung rambut. Bukan di pada akar rambut atau kulit kepala.
#6. Terlalu kerap mencuci rambut
Sesetengah orang pasti membasuh rambut setiap hari atau setiap kali mandi untuk berasa lebih selesa.
Namun TTE Elephant menjelaskan mencuci rambut terlalu kerap boleh menghapuskan lapisan perlindungan semula jadi di kulit kepala.
Menurut Medical News Today, kekerapan mencuci rambut bergantung kepada jenis rambut dan kulit kepala dengan kebanyakan individu tidak perlu membasuh setiap hari.
#7. Menyikat rambut sebelum dikeringkan
Satu lagi tabiat buruk yang mungkin ramai kerap lakukan adalah terus menyikat rambut sebaik sahaja selesai mandi dan rambut masih basah.
Headspa itu menegaskan bahawa tindakan ini boleh merosakkan lapisan kutikel pada rambut.
Tunggu sehingga rambut kering sedikit dahulu atau seperti yang disarankan di atas, sikat rambut sebelum membasuhnya.

#8. Blow rambut mula dari hujung
Menggunakan hair dryer untuk mengeringkan rambut memang amat membantu lebih-lebih lagi jika anda mahu segera keluar.
Namun antara kesalahan yang kerap dilakukan adalah meniup rambut bermula dari bahagian hujung.
TTE Elephant menerangkan bahawa rambut perlu ditiup dari bahagian akar, ke bahagian tengah dan barulah ke hujung untuk menguatkannya dan mengelakkan rambut gugur.
#9. Terus menggunakan hair dryer lepas cuci
Satu lagi tabiat buruk yang dilakukan apabila menggunakan hair dryer adalah terus menggunakan suhu tinggi.
Sepatutnya rambut dikeringkan sedikit menggunakan tuala terlebih dahulu untuk menyerap kelembapan.

#10. Tidur dengan rambut masih basah
Pasti ada individu yang gemar mandi dan mencuci rambut dahulu sebelum tidur, lebih-lebih lagi ketika cuaca panas.
Namun rambut perlu dikeringkan betul-betul terlebih dahulu sebelum tidur.
Ini kerana tidur dengan rambut basah boleh menyebabkan rambut gugur, kulit kepala kering dan sakit kepala kronik.
#11. Keluar rumah lepas baru cuci rambut
Mungkin ada yang gemar mencuci rambut sebelum keluar kerana mahukannya berbau wangi.
Menurut TTE Elephant, sinar UV boleh merosakkan kutikel rambut yang sedang dalam keadaan terbuka.
Ini menyebabkan rambut berada dalam keadaan yang rapuh, seterusnya berpotensi menjadi bercabang dan senang terputus.
#12. Terlalu kerap styling rambut
Ini bukanlah tabiat yang dilakukan ketika mencuci rambut, namun kerap menggayakan rambut (styling) juga boleh merosakkannya.
Ini termasuklah rebonding, dye, dan dandan yang terlalu kerap, seterusnya berisiko merosakkan akar dan menyebabkan keguguran rambut.
Jika anda selalu styling rambut, jangan lupa untuk melakukan rawatan rambut secara sekata.



![“Murahnya Jual” – Daging & Ayam Sama Harga, Ramai Puji Peniaga Masih Jual Burger RM3 [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/food.jpeg)