Careplus ceburi perniagaan kereta elektrik kesan cabaran dalam pasaran sarung getah
diyana
05/09/2023 - 09:40
KUALA LUMPUR 5 Sept - Pembuat sarung tangan yang menanggung kerugian, Careplus Group Bhd mengumumkan ia sedang mempelbagaikan perniagaan kenderaan elektrik (EV).
Ini adalah susulan pengumuman kumpulan pada Jun lalu bahawa ia sedang meneroka perniagaan menjual dan mengeluarkan EV dengan rakan usaha sama, GoAuto Group Sdn Bhd.
Dalam makluman di Bursa Malaysia semalam, Careplus berkata ia sentiasa meninjau peluang untuk berkembang dalam perniagaan lain yang berdaya maju, memandangkan cabaran yang dihadapi oleh semua pemain sarung tangan utama dalam pasaran.
“Sejajar dengan strategi ini, kumpulan telah mengenal pasti perniagaan EV sebagai sumber pendapatan baharu dan mampan, yang dijangka mengurangkan kebergantungan kumpulan terhadap perniagaan sarung tangan,” katanya.
Menurut kumpulan itu, langkah menceburi perniagaan EV tersebut dijangka memberikan hasil yang baik kerana ia memanfaatkan kepakaran teknikal dan pengalaman GoAuto dan EV jenama Neta.
Kumpulan itu juga akan mengoptimumkan tanah seluas 29.9 hektar di Chembong, Negeri Sembilan untuk membina hab pengeluaran dan pemasangan EV, serta Careplus Mall sebagai pusat pengedaran dan pemasaran.
“Walau apa sekalipun cadangan pempelbagaian berkenaan, kumpulan komited untuk terus mempertingkatkan kecekapan operasi dan keuntungan perniagaan sarung tangannya,” tambahnya.
Sementara itu, Careplus telah mencadangkan pemberian bantuan kewangan kepada Nexv Manufacturing Sdn Bhd bagi menjalankan projek hab pengeluaran EV dan kepada Intro Synergy Sdn Bhd untuk melaksanakan pengedaran EV.
Bantuan kewangan itu terdiri daripada pinjaman tambahan sehingga RM10 juta untuk Nexv, manakala bagi Intro Synergy, Careplus akan menyediakan pinjaman sehingga RM10 juta dan jaminan korporat sehingga RM25 juta.
Jumlah bantuan kewangan yang akan disediakan oleh Careplus kepada Nexv kini bernilai kira-kira RM47 juta.
Pada waktu penulisan, saham Careplus menokok 1 sen atau 3.9% dengan permodalan pasaran sebanyak RM154.3 juta. - DagangNews.com


