
KUALA LUMPUR - Institusi perbankan di negara ini seharusnya mencari kaedah alternatif bagi meraih keuntungan, berbanding bergantung kepada mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang digunakan pelanggan.
Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Pulau Pinang (PPPM), Datuk K. Koris Atan berkata, bank juga perlu meningkatkan standard keselamatan siber masing-masing demi kebaikan semua pihak.
Menurut beliau, jenayah berorientasikan penipuan semakin meningkat dan ia melibatkan jutaan ringgit setiap tahun.
“Perbaiki tahap keselamatan teknologi kewangan dan mungkin pengguna akan kurang bergantung kepada mesin ATM untuk transaksi tunai," katanya.
Jelas Koris, PPPM tidak ketinggalan menyertai desakan untuk menghapuskan caj pengeluaran RM1 untuk pengeluaran antara bank di mesin ATM
“Sejak kempen #HapusCajRM1 dimulakan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) Disember lalu, ia menerima sokongan padu kumpulan pengguna, aktivis, dan ahli politik.
"Perbaiki tahap keselamatan teknologi kewangan dan mungkin pengguna akan kurang bergantung kepada mesin ATM untuk transaksi tunai," katanya.
Sekitar Ogos tahun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), Farhan Ahmad dalam satu wawancara dengan Astro Awani mendedahkan, PayNet pada 2023 telah memproses transaksi berjumlah RM5.15 trilion iaitu 3.3 kali ganda Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia.
Mengulas perkara berkenaan, Setiausaha Agung NUBE, J Solomon berkata, majoriti bank di negara ini meraih keuntungan besar dan sudah tiba masanya mereka kembali menyumbang untuk masyarakat.
"Walaupun RM1 nampak kecil bagi sesetengah orang, ia akan bertambah dan ini boleh membuat perbezaan besar kepada ramai rakyat Malaysia yang bergelut hanya untuk mendapatkan makanan yang sempurna.
“NUBE berdiri teguh dengan fakta bahawa peningkatan kos sara hidup di Malaysia memberi kesan tidak seimbang kepada golongan B40,” katanya.
Tegas beliau, senario tersebut memburukkan lagi kedudukan kewangan rakyat, sekali gus menyumbang kepada pelbagai cabaran sosial, kesihatan, dan psikologi.
“Untuk menangani cabaran ini, dasar disasarkan yang memberi tumpuan kepada keperluan segera dan pemberdayaan ekonomi jangka panjang adalah penting, bukan keuntungan yang lebih tinggi,” katanya. - Getaran, 15 Januari 2025

