Bagi anda yang dalam arena perubatan, mungkin tidak asing lagi terma “locum” atau lokum. Kebiasaannya, terma berkenaan digunakan dalam mencari doktor penganti sementara, disebabkan oleh doktor pada sesuatu klinik berkenaan tidak dapat menjalankan tugasan disebabkan cuti, kursus dan sebagainya.
Sebelum ini, proses mencari doktor untuk pengganti sementara ini agak sukar, dimana doktor perlu merujuk kepada saluran Telegram, atau atas dasar kenalan. Dalam memudahkan lagi proses ini, kini sebuah perkhidmatan tempatan dimulakan, dinamakan CariLocum.

CariLocum menyenaraikan pelbagai klinik dan juga kadar bayaran sejam untuk doktor pengganti berkenaan – selain turut menghubungkan doktor dengan klinik berkaitan melalui WhatsApp. Doktor berkaitan juga turut boleh menyemak masa bertugas, sebarang insentif tambahan dan lain-lain melalui halaman penyenaraian untuk setiap klinik pada laman berkenaan, selain lokasi klinik tersebut.
Buat masa ini, boleh dikatakan CariLocum masih pada peringkat awal pembangunan lagi, dan pelbagai ciri tambahan dijangka ditambah pada masa akan datang. Bagi yang berminat, boleh menyemak penawaran CariLocum di laman rasminya.
