Carrick enggan fikir soal pemecatan

Football
9 Nov 2026 • 7:36 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Carrick enggan fikir soal pemecatan
Carrick berjalan meunuju ke terowong pemain selepas perlawanan tamat. Foto Agensi

MICHAEL Carrick menegaskan tidak bercadang melepaskan jawatannya sebagai pengendali Manchester United meskipun tekanan terhadap dirinya semakin meningkat susulan kegagalan pasukan itu mencatat kemenangan dalam lapan perlawanan berturut-turut Liga Perdana Inggeris (EPL).

Ketegangan itu turut terserlah ketika Carrick ditemu bual Sky Sports selepas United terikat 4-4 dengan Aston Villa di Old Trafford pada awal pagi Isnin, keputusan yang menyaksikan kelab berkenaan kekal di tangga ke-18 dengan lapan mata selepas 10 perlawanan.

Ketika ditanya sama ada beliau mempertimbangkan kedudukannya demi kebaikan pasukan, pengendali berusia 45 tahun itu menjawab ringkas: "Tidak."

Beliau kemudian memberikan reaksi balas apabila wartawan menyatakan kedudukannya dijangka menjadi perbincangan pihak kelab menjelang perlawanan seterusnya menentang Liverpool pada 22 November.

“Betulkah? Anda yang beritahu saya. Saya tahu apa yang perlu dilakukan kelab ini dan kami perlu mula memenangi perlawanan.

“Kami belum meraih kemenangan yang mencukupi. Tetapi saya akan terus bekerja, memperbaiki kelemahan pasukan dan memastikan kami kembali mendapat keputusan yang lebih baik,” katanya.

Carrick turut menegaskan masih melihat perkembangan positif dalam permainan anak buahnya walaupun keputusan yang diraih belum mencerminkan usaha pasukan.

"Ya, 100 peratus. Saya rasa terdapat banyak perkara positif. Gol boleh mengubah perlawanan dan kami perlu menanganinya. Itu sesuatu yang perlu diperbaiki dengan segera, tetapi masih banyak perkara baik dalam permainan kami.

"Kami hanya menyukarkan keadaan sendiri pada beberapa ketika," katanya.

United mempamerkan kebangkitan selepas ketinggalan 0-2 dalam tempoh empat minit pertama menerusi jaringan Alysson dan Nicolas Jackson.

Bruno Fernandes dan Youri Tielemans kemudian membantu tuan rumah menyamakan kedudukan sebelum Villa kembali mendahului 4-2 menerusi John McGinn dan Leon Goretzka.

Bagaimanapun, jaringan Joshua Zirkzee dan Patrick Dorgu pada masa kecederaan membolehkan United mengelak kekalahan.

Carrick turut mempertahankan Diogo Dalot yang menerima sorakan kurang menyenangkan daripada sebahagian penyokong ketika dikeluarkan pada babak kedua.

"Saya faham kekecewaan penyokong dan kami semua turut kecewa. Pemain juga merasai perkara sama. Saya jamin Diogo sudah memberikan segala-galanya," katanya.

Keputusan seri itu menyaksikan United memasuki tempoh rehat antarabangsa dalam kelompok tiga terbawah liga, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap Carrick menjelang kunjungan ke Anfield.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved