amree24/09/2026 - 15:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 24 Sept — Carsome Academy meraikan ulang tahun kelimanya dengan menyalurkan sokongan melebihi RM2 juta dalam bentuk bantuan kewangan, biasiswa dan dana pembangunan bakat golongan belia, terutama dari kalangan keluarga berpendapatan B40 dan asnaf.
Menurut kenyataan anak syarikat Carsome Sdn Bhd itu, suntikan dana berimpak tinggi ini bakal membuka peluang lebih luas untuk mereka menguasai kemahiran teknikal yang relevan menerusi pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET).
Katanya, komitmen bantuan kewangan tersebut merangkumi program 'Accelerate with TVET' bernilai RM1.65 juta yang diterajui oleh Maybank Islamic Berhad dengan sumbangan padanan daripada Bank Negara Malaysia, CARSOME Academy dan Etiqa General Takaful.
"Bagi mengukuhkan lagi ekosistem pendidikan berkenaan, Carsome Group turut menambahkan sumbangan biasiswa sebanyak RM150,000, sekali gus menjadikan keseluruhan pakej sokongan pembangunan bakat ini melebihi RM2 juta," jelas akademi tersebut.
Sempena sambutan ini juga, Carsome Academy melancarkan dua program TVET jualan baharu pertama seumpamanya di Malaysia, iaitu 'Certified Sales Professional' dan 'Certified Sales Excellence' yang diiktiraf pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
Ketua Pegawai Eksekutif Carsome Academy dan Pengasas Bersama Carsome Group, Teoh Jiun Ee berkata, akademi ini sudah berjaya melatih 593 pelajar dengan kadar kebolehpasaran pekerjaan mencecah 90% dalam tempoh tiga bulan selepas tamat latihan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Mohamad Yasin Abdullah berkata, kerjasama ini selaras dengan matlamat 'Humanising Financial Services' untuk membina tenaga kerja inklusif serta berkeupayaan mendepani cabaran masa hadapan.
Selain itu, Kerajaan Selangor menerusi IKTISASS dan Yayasan MBI turut menyumbang biasiswa melebihi RM350,000 khusus bagi memanfaatkan pelajar Asnaf dan B40 di negeri berkenaan.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd Najwan Halimi menegaskan bahawa Kerajaan Selangor akan terus berdiri teguh menyokong Carsome Academy sebagai rakan penting yang melatih golongan muda dan menyumbang kepada ekonomi Selangor.
Dalam perkembangan berkaitan, Carsome Academy memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bersama JETOUR Automobile Malaysia bagi menyediakan penempatan kerja dan pendedahan industri dalam bidang pemeriksaan kenderaan, jualan serta perkhidmatan selepas jualan.
Naib Presiden JETOUR Malaysia, Nicholas Ng menjelaskan bahawa kerjasama industri dan institusi TVET amat kritikal dalam merapatkan jurang antara pendidikan akademik dengan keperluan sebenar sektor automotif. - DagangNews.com

