Caruman RM13.10, manfaat Perkeso RM454,898

LocalPersonal Finance
18 Oct 2026 • 8:10 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Caruman RM13.10, manfaat Perkeso RM454,898

PETALING JAYA – Caruman RM13.10 mungkin hanya cukup membeli sebungkus nasi berlauk, namun bagi sebuah keluarga yang kehilangan pencari nafkah akibat kemalangan, jumlah kecil itu mampu menjadi benteng ketika musibah.

Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Azirruan Ariffin berkata, ada kes jumlah berkenaan merangkumi faedah perubatan dan implan seba­nyak RM53,000, faedah cuti sakit RM2,730 serta Faedah Orang Tanggungan (FOT) berterusan secara bulanan kepada balu dan anak kecilnya yang dianggarkan bernilai RM399,168.

“Pencarum hanya sempat membayar caruman sebanyak RM13.10 untuk tempoh satu bulan sahaja. Namun berikutan musibah tersebut, jumlah ke­seluruhan manfaat yang disalurkan kepada mendiang dan keluarganya mencecah RM454,898,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Image from: Caruman RM13.10, manfaat Perkeso RM454,898
Azirruan

Menurut beliau, kes itu menggambarkan bagaimana perlin­dungan sosial mampu me­ngurangkan beban kewangan keluarga apabila pencari nafkah utama meninggal dunia, terutama apabila pasangan dan anak yang ditinggalkan bergantung kepada satu sumber pendapatan.

Dalam keadaan sedemikian, kehilangan ahli keluarga bukan sahaja membawa kesan emosi, malah boleh menyebabkan pendapatan isi rumah terputus secara mendadak, sedangkan per­belanjaan harian, keperluan anak dan komitmen kewangan tetap perlu diteruskan.

Justeru, Azirruan berkata, caruman perlindungan sosial perlu dilihat sebagai persediaan menghadapi risiko, bukannya perbelanjaan yang hanya memberi manfaat ketika seseorang mengalami kemalangan.

Mengulas penyertaan dalam Lindung Kendiri, Azirruan berkata, seramai 1,712,514 individu be­kerja sendiri berdaftar di bawah skim itu setakat 2 Oktober 2026.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 1,295,752 orang atau 75.7 peratus merupakan pekerja sektor gig, termasuk penghantar makanan, pemandu e-hailing dan penghantar barangan, yang sebahagian besarnya bergantung kepada keupayaan fizikal untuk menjana pendapatan.

Selain pekerja sendiri, Perkeso turut menyediakan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (Lindung Kasih) dengan caruman RM120 setahun, bersamaan kira-kira 33 sen sehari.

Azirruan berkata, skim ber­kenaan mencatatkan penyertaan aktif seramai 54,460 suri rumah bagi tempoh Januari hingga Oktober 2026, sekali gus memperlihatkan kepentingan perlindu­ngan sosial kepada golongan yang menjalankan tanggungjawab penjagaan keluarga tanpa pendapatan tetap.

Ujarnya, keutamaan memperluas perlindungan sosial amat penting bagi mengelakkan keluarga berpendapatan rendah.

The post Caruman RM13.10, manfaat Perkeso RM454,898 appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved