CAS benarkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya kembali beraksi

PoliticsFootball
27 Jan 2026 • 10:57 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

Mahkamah Timbang Tara Sukan tangguhkan hukuman FIFA, benarkan tujuh pemain warisan negara sambung karier sementara menunggu keputusan rayuan muktamad.

KUALA LUMPUR: Tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang digantung selama 12 bulan oleh FIFA kini dibenarkan kembali beraksi.

Persatuan Bolasepak Malaysia memaklumkan Mahkamah Timbang Tara Sukan membenarkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan yang dikemukakan pemain-pemain terlibat.

Tujuh pemain tersebut ialah Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Gabriel Palmero, Jon Irazabal dan Héctor Hevel.

“Keputusan ini bermakna hukuman penggantungan selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak yang dikenakan FIFA terhadap tujuh pemain Harimau Malaya tersebut ditangguhkan buat sementara waktu,” menurut kenyataan FAM.

Mereka dibenarkan meneruskan karier serta menyertai sebarang aktiviti berkaitan bola sepak sehingga keputusan muktamad rayuan di CAS dibuat.

Pada 26 September lepas, FIFA mengesahkan FAM dan tujuh pemain warisan negara didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berhubung kesalahan pemalsuan dokumen.

Siasatan mendapati FAM telah menyerahkan dokumen dipercayai dipalsukan untuk mengesahkan kelayakan pemain terbabit.

Dokumen itu membolehkan mereka beraksi ketika Malaysia menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi Kumpulan F pusingan Kelayakan Piala Asia 2027.

Susulan itu, FAM diarahkan membayar denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta).

Setiap pemain didenda CHF2,000 (sekitar RM11,000) serta digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.

Jawatankuasa Rayuan FIFA pada 3 November lepas menolak rayuan FAM dan kesemua pemain.

Keputusan itu mengekalkan hukuman Jawatankuasa Tatatertib mengenai pelanggaran serius Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA.

FAM kemudian membawa kes itu ke CAS bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.

Ia juga bagi mempertahankan integriti proses kelayakan pemain yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan badan berkaitan.