Casio G-Shock GA-V01 Boleh Dipra-tempah Di Malaysia Dengan Harga RM679

TechnologyDigital
17 Jun 2025 • 11:19 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Casio mengumumkan bahawa pratempahan untuk G-Shock GA-V01 kini dibuka di Malaysia. Model baharu ini pertama kali diperkenalkan di China pada Februari lalu, dan menampilkan rekaan unik yang diinspirasikan daripada model klasik DW-9000.

image is not available

Jam tangan ini direka oleh Tomohito Hamue, iaitu seorang pereka dari Hong Kong dengan rekaan moden yang diinspirasi daripada model klasik. Ia dilengkapi dengan Shock Release Hand, bezel dan tali tahan lasak, serta paparan futuristik Y3K bersama elemen moden.

Y3K adalah singkatan bagi Year 3000 yang melambangkan reka bentuk futuristik dengan elemen hampir seperti sains fiksyen. Konsep ini digunakan dalam G-Shock GA-V01 untuk mewujudkan elemen paparan yang lebih moden dan tampak unik.

image is not available

Salah satu ciri paling unik ialah penanda jam 3D yang kelihatan seolah-olah terapung di luar skrin. Seperti kebanyakan model G-Shock, GA-V01 dilengkapi dengan ciri ketahanan hentakan serta ketahanan air sehingga 200-meter sesuai untuk aktiviti lasak. Jam tangan ini menggunakan bateri CR2025 yang boleh bertahan sehingga 10 tahun.

Ia juga mempunyai ciri seperti lampu LED berkembar, waktu dunia untuk 48 bandar, lima penggera harian, pemasa, dan banyak lagi. Jam tangan ini sesuai untuk pelbagai saiz pergelangan tangan dengan saiz antara 145 hingga 215mm, dan hadir dalam empat pilihan warna iaitu hitam, ungu, hijau dan perak.

image is not available

Bagi mereka yang berminat, pra-tempahan kini dibuka secara eksklusif di laman web Crossover Malaysia serta kedai rasminya di The Exchange TRX, dengan harga RM679. Bermula 13 Julai 2025, GA-V01 juga akan tersedia di outlet G-Shock seluruh negara untuk membolehkan peminat mendapatkannya di lebih banyak lokasi.

View Original Article