Catat hasil RM2.505 bilion, tiga tahun berturut atasi sasaran

11 Jan 2023 • 2:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 11 JAN: Selangor mencatat hasil negeri sebanyak RM2.505 bilion tahun lalu, lebih RM500 juta mengatasi sasaran sekali gus antara pencapaian terbaik dalam tempoh lima tahun terakhir.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan muafakat antara pentadbir dan pengurusan membantu negeri mengatasi sasaran awal iaitu RM2.05 bilion.

“Tahun lepas, kita catat lebihan bukan RM100 juta tetapi lebih RM500 juta dari sasaran. Tiga tahun berturut-turut kita rekodkan jumlah melepasi sasaran,” katanya ketika menyampaikan amanat tahun baharu hari ini.

Dengan merujuk laporan EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim, beliau berkata pentadbiran negeri mencatat hasil antara RM11 hingga RM12 juta setakat Ogos.

“Tetapi dalam tempoh tiga empat bulan antara September hingga November, kita sudah cecah RM2.5 bilion,” katanya yang turut merakam penghargaan kepada pentadbiran, pengurusan dan penjawat awam negeri.

Amirudin menambah mereka giat berusaha membantu menjana ekonomi negeri sekali gus simbol keyakinan orang ramai dan masyarakat pelabur.

“Saya bersyukur walaupun berdepan pandemik Covid-19, banjir pada 2021 dan dikejutkan dengan tanah runtuh Batang Kali, Kerajaan Negeri tetap gagah,” katanya.