Catcha Digital dan Keluar Sekejap bekerjasama untuk melancarkan KS Lagi

24 Jun 2024 • 5:47 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Catcha Digital Berhad (Catcha Digital), melalui anak syarikatnya, hari ini memeterai Perjanjian Usahasama dengan Khairy Jamaluddin (KJ) dan Shahril Hamdan (Shahril), pengasas Keluar Sekejap Sdn Bhd (Keluar Sekejap) untuk bersama-sama mengasaskan dan membentuk perniagaan media digital yang baharu dan disruptif, KS Lagi.

Kerjasama ini akan menggabungkan jangkauan digital dan kekuatan Catcha Digital dengan Keluar Sekejap, salah peneraju baru dalam ruang media digital dan podcast di Malaysia.

Catcha Digital berhasrat untuk mengambil tanggungjawab komersial Keluar Sekejap yang sedia ada dan KS Lagi. Selain itu, KS Lagi akan mencipta dan mengedarkan kandungan media baharu merentasi rangkaian Catcha Digital yang sedia ada yang mencapai kira-kira 20 juta rakyat Malaysia setiap bulan.

image is not available

Keluar Sekejap ialah jenama media yang berkembang pesat yang diasaskan oleh KJ dan Shahril, dan telah menempah nama dalam ruang media digital sejak dilancarkan pada tahun 2023. Sebagai salah satu jenama media digital yang paling pesat berkembang di Malaysia, ia berjaya mencapai lebih daripada 1.4 juta langganan dan pengikut di seluruh platform media sosialnya dan lebih 39 juta tontonan di YouTube. Keluar Sekejap mempunyai suara yang unik dengan menjadi adil, tidak ditapis dan mampu meliputi pelbagai topik dengan mendalam tetapi masih boleh diterima ramai.

“Apabila kami memulakan Keluar Sekejap lebih setahun yang lalu, kami tidak sangka bahawa kami akan mempunyai platform yang mempengaruhi wacana dan perbualan menarik dengan personaliti dari dalam dan sekitar dunia politik. Dengan KS Lagi dan personaliti yang sama, kami ingin membina dari platform utama Keluar Sekejap untuk mencipta kandungan yang mempunyai tarikan seperti Keluar Sekejap tetapi di luar dunia politik melalui format kandungan yang berbeza.

“Melalui Kindred Stories, kami menemu bual umat Islam yang berpengaruh di seluruh dunia dan Jugador TV sebagai podcast bola sepak – jadi sebagai sebuah syarikat kandungan media, kami telah beralih dari politik. Tetapi dengan KS Lagi kami akan meningkatkannya lagi,” kata Shahril.

“KS Lagi akan memperluaskan kejayaan Keluar Sekejap dan akan menjadi platform media yang bertujuan untuk membantu pengguna menjalani kehidupan terbaik mereka dengan menyusun kandungan gaya hidup yang kontemporari namun abadi, relevan tanpa bersifat murahan dan informatif dengan cara yang menghormati pandangan para pengguna.

“Platform ini akan meliputi pelbagai topik, termasuk kesihatan dan kesejahteraan hidup, pemakanan sihat dan masakan, kesusasteraan dan seni, teknologi, pemimpin dan golongan rakyat, kepercayaan dan kerohanian, perniagaan dan keusahawanan, fesyen dan citarasa dan banyak lagi,” kata KJ.

image is not available
Pengerusi Catcha Digital, Patrick Grove

“Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan KJ dan Shahril untuk bersama-sama mengasaskan KS Lagi,” kata Patrick Grove, Pengerusi Catcha Digital.

“Di seluruh platform Catcha Digital dan Keluar Sekejap, kami sudah mencapai sebahagian besar dari rakyat Malaysia setiap bulan dan kami juga mendapati bahawa penonton kami mahukan pendekatan baru terhadap kandungan digital. Kami akan menjadi sebahagian penting dari kerjasama ini, sejajar dengan misi kami untuk membina kumpulan digital terkemuka di Asia Tenggara. Kami akan meneruskan perkongsian strategik, pelaburan dan pengambilalihan yang mampu menyumbang kepada pendapatan sesaham kami,” tambah Patrick.

Untuk memulakan usaha kerjasama baru ini, Khailee Ng, salah seorang pelabur teknologi yang paling prolifik di Malaysia, telah dilantik sebagai Penasihat Strategik untuk KS Lagi dan Shahzeeq Shahren (Shah) telah dilantik sebagai Ketua Pengarang.

Shah adalah pengasas bersama BeautifulNara, salah satu platform media selebriti dan gaya hidup yang paling popular di Malaysia.

Adalah dijangkakan bahawa KS Lagi akan dilancarkan secara rasmi pada separuh kedua tahun 2024. Maklumat lanjut mengenai usaha sama ini akan diumumkan kemudian.