Cawangan Khas PDRM Agensi Perisikan Pertama Berjaya Bongkar Sel Kumpulan JI - Ayob Khan

LocalPolitics
13 Sep 2025 • 10:35 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Tragedi 911 dianggap serangan pengganas terbesar ke atas Amerika Syarikat - Gambar Facebook

KUALA LUMPUR - Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) ialah agensi perisikan pertama berjaya membongkar sel-sel kumpulan Jemaah Islamiah (JI) yang beroperasi di Malaysia, Indonesia, Singapura, Filipina, Australia dan Thailand.  

Mendedahkan perkara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kejayaan tersebut menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa.  

Menurut beliau, pencapaian membanggakan itu bukan sekadar disumbangkan oleh Bahagian Counter Terrorism semata-mata, sebaliknya hasil kerjasama semua bahagian lain yang bernaung di bawah Cawangan Khas. 

“Kebanyakannya berkhidmat di belakang tabir, tetapi sumbangan mereka adalah besar dalam menjaga keamanan dan ketenteraman di Malaysia.  

“Kejayaan besar kami ini juga adalah kerana dibimbing oleh pengarah, pegawai tertinggi Cawangan Khas yang berpengalaman, teliti dan komited dalam menjalankan tugas dan memegang kemas amanah yang diberikan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

image is not available
Ayob Khan Mydin Pitchay - Gambar fail

Ayob menyatakan demikian sebagai memperingati ulang tahun tragedi 9 September 2001 di Washington, Amerika Syarikat (AS).

Jelasnya, tarikh 11 September akan terus terpahat dalam lipatan sejarah sebagai satu-satunya peristiwa serangan pengganas terbesar pernah dilancarkan ke atas AS.

“Semua agensi keselamatan dan agensi perisikan bukan saja di AS malahan di seluruh dunia tergamam dengan impak, perancangan teliti, komitmen dan keberanian Kumpulan Al-Qaeda (AQ) yang mendalangi serangan 911 tersebut,” katanya.

Namun dedah Ayob, ada elemen penting yang tidak diketahui umum, sama ada rakyat Malaysia atau masyarakat dunia berhubung tragedi itu. 

“Apa yang tidak diketahui umum sama ada di peringkat antarabangsa mahupun di Malaysia adalah penglibatan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas PDRM dalam mengumpul inteligen awal mengenai kehadiran operatif-operatif AQ di Malaysia pada Disember 1999, 22 bulan sebelum serangan 911 dilancarkan,” katanya. 

Beliau memberitahu, Cawangan Khas ketika itu diterajui seorang pengarah yang amat dihormati dan terkenal di peringkat antarabangsa, Datuk Yusof Rahaman. 

image is not available

Yusof Rahaman ketika itu katanya, merupakan Penolong Pengarah di Bahagian Inteligen Luar, manakala Ayob sendiri mengetuai unit kecil Counter Terrorism di bawah Bahagian Inteligen Luar.

“Dalam konteks inteligen berhubung elemen-elemen pengganas antarabangsa yang diperolehi dari agensi perisikan luar, Datuk Yusof Rahaman akan meneliti setiap satu dan akan memberi arahan selanjutnya.

“Salah satu inteligen yang diperolehi adalah dari agensi perisikan Amerika Syarikat pada akhir Disember 1999 iaitu mengenai kehadiran anasir-anasir AQ di Kuala Lumpur. Inteligen tersebut tidak mendedahkan tujuan dan perancangan operatif tersebut di Malaysia,” katanya.

Ayob berkata, agensi perisikan AS pada 4 Januari 2000 telah menyalurkan maklumat tambahan yang lebih terperinci mengenai penerbangan, butir-butir peribadi dan gambar Khalid Al-Mihdhar (KAM) iaitu anggota kanan AQ yang akan memasuki Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Saya dan beberapa pegawai saya turun ke KLIA pada malam 4 Januari 2000 untuk ‘memantau’ dan mengesahkan kehadiran KAM. Saya bersama Inspektor (Insp) Mohd Raby dan Insp Ooi Yuet Kueh turun ke KLIA. 

“Ketika KAM berada di kawasan ‘baggage carousel’, Insp Mohd Raby telah berjaya mengenal pasti KAM berdasarkan gambar yang disalurkan. Insp Mohd Raby terus memaklumkan kepada saya. Saya tidak menyangka bahawa inilah suspek yang kemudiannya bersama empat lagi anggota AQ terlibat dalam merampas dan merempuh Pentagon pada 11 September 2001 (64 penumpang dan 125 mangsa di darat terkorban dalam serangan itu),” katanya.

image is not available

Mengimbas kembali, Ayob berkata, KAM ketika itu yang berbaju lengan panjang berwarna hitam melintas di hadapannya sambil membawa beg.

“Kami bertiga terus mengekori KAM dari jarak “selamat” sebelum memaklumkan kepada team ‘Surveillance Operation (SO)” yang menanti di luar balai ketibaan. 

“KAM disambut oleh seorang warga Arab yang merupakan pelajar sebuah universiti tempatan yang bekerja sambilan dengan “travel agency”. Mereka berlepas dari KLIA dan menginap di hotel bajet di kawasan Bukit Bintang,” katanya. 

Tambah beliau, pengintipan ke atas KAM sepanjang berada di sekitar Bukit Bintang KL dan Bandar Sg Long Kajang, Selangor telah berjaya mengesan dan mengenalpasti lain-lain operatif AQ yang memasuki Malaysia lebih awal. 

Mereka katanya terdiri daripada Nawaf Al-Hazmi, Salah Saed @ Khallad Attash dan Ramzi Bin Al-Shibh.

“Khallad Attash adalah salah seorang anggota AQ yang terlibat dalam serangan ke atas Kedutaan Amerika Syarikat di Tanzania dan Kenya pada 7 Ogos 1998 dan cubaan serangan ke atas USS The Sullivans di Aden, Yemen pada 3 Januari 2000 tetapi gagal kerana bot yang membawa bahan letupan tenggelam. 

“Pada 12 Oktober 2000 iaitu selepas 11 bulan kehadirannya di Malaysia, Khallad Attash berjaya menyelaras operasi serangan berani mati ke atas USS Cole di Aden, Yemen.

“Keempat-empat mereka berada di Malaysia dari 4 hingga 8 Januari 2000. Mereka merupakan operatif yang terlatih kerana tidak pernah menggunakan telefon di bilik hotel penginapan mereka atau rumah penginapan mereka untuk membuat panggilan telefon,” katanya.

image is not available

Mengulas lanjut Ayob berkata, kesemua anggota AQ itu menggunakan telefon awam dan kafe internet di Bukit Bintang untuk berkomunukasi dan antara telefon awam yang sering digunakan terletak oleh di hadapan Menara Maybank di Jalan Tun Perak, di sini.

“Kami berjaya mendapatkan ‘toll records’ panggilan –panggilan yang dibuat di “public phone” tersebut dan dikongsi dengan perisikan Amerika Syarikat. Nombor antarabangsa yang dihubungi termasuk beberapa negara Timur Tengah, antaranya yang mempunyai hubungan dengan operatif-operatif kanan AQ.

Salah satu nombor antarabangsa tersebut adalah nombor Yemen milik Ahmad Al-Hada, bapa mertua KAM. Nombor telefon yang sama pernah dikesan mempunyai hubungan dengan Sel Al-Qaeda yang telibat dalam serangan Kedutaan Amerika Syarikat di Tanzania dan Kenya pada 7 Ogos 1998,” katanya. 

Beliau berkata, semua maklumat mengenai penerbangan, passport dan nombor-nombor panggilan antarabangsa yang mereka hubungi melalui telefon awam dikongsi dengan agensi perisikan AS apabila KAM, Khallad Attash dan Nawaz Al Hazim berlepas ke Bangkok pada 9 Jan 2000.

Malangnya tambah Ayob, semua maklumat tersebut tidak disalurkan agensi perisikan AS itu kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI). 

Semua kelemahan dalam perkongsian inteligen di antara agensi perisikan Amerika Syarikat dengan FBI itu katanya, dinyatakan dengan jelas dalam 911 Commission Report. 

“Ada dua buku, The Looming Tower oleh Lawrence Wright dan The Black Banners oleh Ali Soufan (Bekas Agen FBI yang terlibat dalam siasatan ke atas serangan USS Cole dan 911) yang menceritakan dengan jelas kerjasama CK PDRM dalam perkongsian inteligen mengenai operatif-operatif AQ yang terlibat dalam serangan 911.

“Saya yang ketika itu merupakan “Case Officer” siasatan ke atas KAM dan lain-lain operatif AQ di Malaysia, meneruskan pemantauan ke atas Yazid Sufaat dan lain-lain anggota Jemaah Islamiah (JI) yang dikesan mempunyai hubungan dengan anggota AQ tersebut,” katanya.

Ayob berkata, satu laporan lengkap telah dihantar kepada Penolong Pengarah Bahagian Inteligen Luar Cawangan Khas untuk terus memantau rakyat Malaysia tersebut. 

“Daripada pemantauan berterusan tersebutlah kami dapat mengesan kewujudan kumpulan Jemaah Islamiah dan melancarkan operasi besar-besaran pada 11 Disember 2001,” katanya. - Getaran, 13 September 2025