Belanjawan 2020 pacu negara ke arah transformasi digital: Gobind

LocalPolitics
11 Oct 2019 • 9:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

KUALA LUMPUR - Belanjawan 2020 yang memberi fokus dalam membina infrastruktur dan mempercepatkan ekonomi digital bakal memacu negara ke arah transformasi digital.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, peruntukan diumumkan hari ini adalah tepat dan ia berjaya memberi fokus besar kepada matlamat ekonomi digital.

“Melalui belanjawan ini, ia diumumkan untuk mendukung hasrat kita (negara) untuk membina negara digital... Ia berada di landasan betul yang menfokus kepada masa depan dan memperkasa rakyat Malaysia.

“Ia (belanjawan) juga adalah selari dengan objektif Kementerian Komunikasi dan Multimedia untuk menjayakan matlamat negara digital,” katanya kepada pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2020 di Parlimen di sini hari ini.

Belanjawan 2020 dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Parlimen hari ini.

Guan Eng ketika membentangkan belanjawan itu berkata, kerajaan akan membangunkan infrastruktur diperlukan bagi membentuk Digital Malaysia melalui pelaksanaan Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) sepanjang tempoh lima tahun.

NFCP akan menyediakan liputan berkelajuan tinggi komprehensif dan jaringan digital yang berkualiti di seluruh negara termasuk kawasan luar bandar.

Pelan itu, menurut Guan Eng melibatkan jumlah pelaburan RM21.6 bilion melalui kerjasama awam swasta.

Peruntukan RM210 juta juga diperuntukkan bagi mempercepatkan infrastruktur digital di bangunan awam terutamanya sekolah dan kawasan berimpak tinggi seperti taman perindustrian. - Bernama


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved