
Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 30 tahun dijatuhi hukuman penjara berjumlah dua tahun dan sebat oleh Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan melakukan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan wang berjumlah RM25,689.15.
Jerome Harry Dominic, yang sepatutnya dibicarakan di hadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim pada Isnin, memaklumkan mahkamah bahawa dia ingin menukar pengakuannya kepada bersalah terhadap pertuduhan itu.
Jerome mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dilakukan di pasar raya Bataras di Telipok Ria, Tuaran.
Bagi pertuduhan pertama, dia mengaku melanggar amanah yang diberikan kepadanya sebagai penolong pengurus Bataras Mall yang diamanahkan dengan hasil jualan harian berjumlah RM16,044.15 yang sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun syarikat tetapi dia tidak melakukannya, antara 11.30 pagi dan tengah hari pada 10 Februari 2021.
Jerome turut mengaku kepada pertuduhan kedua di mana dia diamanahkan satu lagi hasil jualan harian sebanyak RM9,645 tetapi tidak memasukkan wang tersebut ke dalam akaun syarikat di tempat dan masa yang sama pada 11 Februari 2021.
Dia dipenjara satu tahun dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan.
Noor Hafizah memerintahkan Jerome, yang diikat jamin, menjalani hukuman penjara serentak dari tarikh sabitan (Isnin).
Terdahulu, pihak pendakwaan dalam mengemukakan fakta kes memberitahu mahkamah juruaudit syarikat itu, yang diarahkan pengurus besar membuat semakan berhubung wang pendapatan harian syarikat, mendapati wang itu berkurangan sebanyak RM25,689.15.
Jerome kemudiannya ditangkap oleh polis pada 18 Februari 2021, mahkamah diberitahu.
Siasatan polis mendapati Jerome, yang diamanahkan dengan hasil jualan harian syarikat untuk tempoh tersebut, tidak memasukkan wang RM25,689.15 yang dipertanggungjawabkannya ke dalam akaun bank syarikat.
Jerome telah melakukan pecah amanah jenayah berkenaan wang itu dan telah menggunakan wang itu untuk kepentingan peribadinya, kata mahkamah.
Setiap pertuduhan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, membawa hukuman penjara antara satu hingga 14 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Tidak diwakili, Jerome meminta hukuman ringan dengan mengatakan bahawa dia menyesali perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.
Tambahnya, dia mempunyai anak yang masih kecil dan isterinya tidak bekerja.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Nur Faezah Jafry mendesak agar hukuman penjara dijatuhkan atas alasan ia merupakan kesalahan serius dan
Jerome telah menyalahgunakan kedudukannya sebagai Penolong Pengurus dan menyalahgunakan kepercayaan yang diberikan syarikat terhadapnya.
Hukuman itu bukan sahaja untuk dijadikan pengajaran kepada tertuduh malah kepada orang ramai secara umum, hujah pendakwaan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

