CCC-ECRL iktiraf prestasi cemerlang 23 rakan projek tempatan
zulfadli
02/06/2023 - 11:29
KUALA LUMPUR 2 Jun - Kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) mengiktiraf sebanyak 23 vendor, termasuk perunding, pembekal dan subkontraktor, dengan Anugerah Kecemerlangan 2022.
Pengarah Urusan CCC-ECRL, Kong Qi berkata, anugerah yang memasuki edisi ketiga itu menjadi bukti kepada keupayaan dan prestasi pemain industri pembinaan tempatan dalam pelbagai bidang, seperti Pengurusan Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSE), Pengurusan Kualiti, Pengurusan Kemajuan, dan Peruntukan Sumber.
“Anugerah ini mempunyai syarat yang lebih ketat. Walaupun standard kali ini adalah lebih tinggi, kami tetap dapat mengenal pasti 23 vendor cemerlang yang bukan sahaja berjaya memenuhi standard yang ditetapkan, malah lebih daripada itu.
"Kami menghargai kerja keras dan dedikasi daripada semua rakan kongsi, dan kami berharap semoga pengiktirafan yang diberikan menerusi anugerah ini akan mendorong mereka meneruskan usaha cemerlang mereka," katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, Kong berkata, untuk memastikan lebih banyak penyertaan daripada kontraktor tempatan, terutamanya kontraktor kecil tempatan dan Bumiputera daripada kategori Gred G1-G3, pihaknya bersetuju dan komited memberi peruntukan khas kepada mereka.
Katanya, peruntukan itu bertujuan untuk memberi mereka peluang tambahan dan menyokong industri pembinaan secara keseluruhannya.
Terdahulu, projek ECRL yang merentasi empat negeri, termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor merekodkan kadar kemajuan keseluruhan sebanyak 43% setakat April 2023.

Tahun 2023 adalah kemuncak bagi projek pembinaan itu dengan tapak kerja meningkat kepada lebih 1,200 di sepanjang jajaran dan memerlukan lebih daripada 23,000 pekerja.
Projek tersebut terus mencatatkan kemajuan dengan dipacu kerja pembinaan terowong, pemasangan rasuk jejambat, kerja penjajaran tanah, serta pembinaan stesen-stesen dan diikuti dengan pemasangan landasan kereta api.
Ketika ini terdapat 695 subkontraktor, 1054 pembekal dan 96 perunding yang menjadikan jumlah keseluruhan 1,854 kontraktor tempatan mengambil bahagian dalam projek ECRL. - DagangNews.com
