Cecah paras tertinggi 15 bulan, penganalisis yakin ringgit terus kukuh sebagai mata wang terbaik Asia
herman
06/08/2024 - 10:35
KUALA LUMPUR 6 Ogos - Ringgit meningkat ke paras tertinggi 15 bulan semalam dengan kenaikan untuk 11 hari berturut-turut berbanding dolar AS.
Mata wang tempatan itu mencecah RM4.395 berbanding dolar AS pada awal dagangan sebelum ditutup pada sekitar RM4.427 pada 6 petang, daripada penutup 2 Ogos 2024 (Jumaat) sekitar RM4.945.
Ringgit kekal sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia, dengan keuntungan hampir 6% tahun-ke-kini (YTD), di tengah-tengah lonjakan aliran masuk dana asing ke rantau ini.
Pada jam 9 pagi ini, ringgit berada pada paras RM4.454 berbanding dolar AS. Sebagai perbandingan, pada 1 Ogos 2024, ringgit dibuka pada RM4.5695 berbanding mata wang AS itu.
Beberapa penganalisis yakin ringgit boleh mengukuh lagi, memandangkan dolar AS dilihat semakin lemah dengan pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS dijangka berlaku mulai September 2024.
"Selepas tempoh kelemahan yang berpanjangan, Riggit dijangka terus mencatatkan pengukuhan lanjut memandangkan indeks dolar AS (DXY) dijangka menurun pada suku keempat 2024, didorong oleh jangkaan Fed memotong kadar faedah pada bulan September," kata nota penyelidikan Kenanga Research.
Menurut firma itu, dengan penyatuan fiskal, kadar dasar BNM yang stabil dan prospek pertumbuhan yang kukuh, ringgit mungkin akan mencecah RM4.42 berbanding dolar menjelang akhir 2024.
Sementara itu, CIMB Bank Research berkata, nilai wajar ringgit adalah pada RM4.30 berbanding dolar AS, didorong oleh pemulihan eksport dan pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia, pengurangan keutamaan mata wang asing, penyelesaian posisi panjang dolar AS dan normalisasi aliran portfolio bon dan ekuiti bukan pemastautin.
“Kami menjadi positif terhadap ringgit pada bulan Mac dan percaya keuntungan mungkin berterusan dalam masa terdekat, seiring dengan kenaikan aliran masuk asing bersih.
“Pertama, pemulihan dalam eksport elektrik dan elektronik dan lebihan perdagangan mungkin menambah sehingga AS$2 bilion sebulan dalam hasil mata wang asing bersih sehingga akhir 2024,” kata firma itu dalam laporannya semalam.
MIDF Research sebelum ini optimis Ringgit akan meningkat ke arah sasaran akhir tahun sebanyak RM4.43 berbanding dolar AS.
Menurut firma penyelidikan itu, asas pertumbuhan negara juga akan menyokong Ringgit untuk terus meningkat dengan anggaran awal menunjukkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) suku kedua 2024 berkembang pada 5.8%yoy (1QCY24: +4.2%yoy).
"Ringgit akan terus mendapat keuntungan daripada perbezaan faedah yang semakin mengecil kerana Bank Negara Malaysia (BNM) diunjur mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR), seiring dengan kawalan inflasi yang kekal stabil di Malaysia," kata firma penyelidikan Bank Pelaburan itu.
Standard Chartered pada 2 Ogos 2024 lalu menerbitkan penyelidikan mengenai Malaysia yang menunjukkan ringgit adalah satu-satunya mata wang Asia yang telah meningkat berbanding dolar AS bagi tempoh sepanjang tahun ini.
Sehubungan itu, bank tersebut mengekalkan pandangan bahawa Ringgit akan kekal sebagai mata wang yang terbaik di rantau ini.
"Setakat ini YTD, Ringgit adalah satu-satunya mata wang Asia yang telah meningkat berbanding dolar AS. Penglibatan pihak berkuasa dengan badan-badan berkaitan untuk menggalakkan membawa pulang modal, penukaran dan lindung nilai hasil mata wang asing mereka telah menjadi punca kepada prestasi cemerlang ini.
"Walau bagaimanapun, kami perhatikan bahawa asas-asas dasar juga memberi kesan positif kepada Ringgit," kata Standard Chartered smbil mengekalkan pandangan bahawa ringgit akan kekal sebagai mata wang yang terbaik di rantau ini.
Dalam pada itu, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, prospek ringgit yang lebih tinggi masih dapat dilihat, memandangkan mata wang tempatan itu masih dinilai rendah berbanding dolar AS walaupun meningkat baru-baru ini.
“Pada masa ini, sasaran akhir tahun kami ialah pada RM4.5 setiap dolar AS.
“Dari segi teknikal, paras sokongan dan rintangan semasa masing-masing terletak pada RM4.40 dan RM4.49. Jika ia menembusi paras sokongan semasa, sokongan seterusnya ialah pada RM4.30,” katanya kepada StarBiz. - DagangNews.com



