
KUALA LUMPUR - Gara-gara mengamuk, seorang rakyat Indonesia ditahan selepas mencederakan warga emas dalam satu insiden di Cheras, di sini.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, kejadian berkenaan berlaku di Apartment Miharja Fasa 1, di sini, semalam.
Menurut beliau, polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 11.40 pagi, sebelum Unit Rondaan MPV digerakkan ke lokasi.
“Suspek lelaki berusia 25 tahun yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri didapati telah pergi ke rumah mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 78 tahun.
“Siasatan mendapati suspek mengetuk pintu rumah mangsa dengan sebilah pisau sehingga mata pisau tersebut patah dan tercampak ke dalam longkang,” katanya.
Jelas Aidil, mangsa mangsa mengalami kecederaan ringan pada bahagian rusuk kanan susulan insiden.
Beliau berkata, saksi di tempat kejadian mendakwa suspek telah mengganggu orang ramai dan membuat bising sejak tiga hari lalu.
“Polis berjaya menahan suspek pada jam 1.38 petang dan merampas sebilah pisau patah sepanjang 34 sentimeter.
“Suspek kemudiannya dibawa ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Getaran diberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan (mendatangkan kecederaan), Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Kes sama turut disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana melibatkan warga asing. – Getaran, 28 Oktober 2025


