Cendana Auto sasar teroka pasaran antarabangsa termasuk Arab Saudi, Afrika

04/09/2025 - 09:40
Ketua Pegawai Eksekutif Cendana Auto, Muhammad Fairuz Abd Razak memberikan penerangan mengenai perniagaan kumpulan itu kepada pemberita semasa majlis makan malam di ibu negara. Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 4 Sept - Syarikat pengeluar kenderaan taktikal tempatan, Cendana Auto Sdn Bhd menyasarkan untuk meluaskan lagi jejak mereka ke pasaran antarabangsa dengan tumpuan terarah kepada negara-negara seperti Brunei, Timor Leste, Bangladesh, Arab Saudi dan Afrika.
Ketua Pegawai Operasi Cendana Auto, Shahrinoldin Othman, syarikat sudah mula meneroka pasaran luar sejak tahun lalu dan pihaknya merasakan sudah sampai masanya untuk mereka meluaskan lagi pasaran mereka bagi meneroka peluang-peluang baharu.
Katanya, projek bersama Brunei sudah bermula sejak beberapa tahun lalu dan ketika ini mereka sudah mencuba produk-produk keluaran Cendana Auto.
"Mereka bukan sahaja berminat dengan kenderaan pengangkut senjata tetapi juga minat terhadap beberapa produk lain.
"Ada juga negara lain datang ke kilang kami yang terletak di Semenyih dan mungkin sudah sampai masa untuk kami membentangkan kertas cadangan kepada mereka," katanya semasa majlis makan malam di ibu negara.

Shahrinoldin berkata, skop perniagaan mereka terus berkembang dengan memberi tumpuan kepada aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam penghasilan kenderaan operasi khas tentera.
Katanya, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan dan juga kilang pembuatan serta pemasangan juga dijadikan rujukan untuk pendedahan serta kegiatan industri pertahanan dalam bidang automotif kepada Malaysian Armed Forces Staff Colleges yang terdiri daripada pelajar dalam dan luar negara.
Beliau berkata, Cendana Auto merupakan satu-satunya syarikat yang memiliki keupayaan 100% tenaga kerja dan kepakaran bumiputera yang terdiri daripada graduan dan pelatih daripada kolej dan universiti tempatan seperti Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Institut Kemahiran Mara (IKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan juga program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Sehingga kini, syarikat mempunyai lebih 150 pekerja terlatih dan ia dapat membantu graduan serta menjadi pemangkin ekonomi pendudukan tempatan dan kawasan sekitar. - DagangNews.com
standard



