Cenergi, KSM jalin kerjasama pupuk kemahiran hijau dalam kalangan penuntut TVET
diyana
05/10/2023 - 18:08
KUALA LUMPUR 5 Okt - Cenergi SEA Berhad telah menandatangani memorandum kerjasama (MOC) dengan Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi menyediakan kemahiran teknikal hijau kepada penuntut Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Dalam satu kenyataan media hari ini, penyedia rumusan tenaga mampan dan anak syarikat UEM Group Berhad itu berkata kerjasama itu adalah bagi mengatasi kekurangan kemahiran hijau tempatan.
Di bawah kerjasama ini, Cenergi akan berkolaborasi dengan tenaga pengajar di Institut Latihan Kemahiran Asas (ILKA) untuk menyediakan serta membangunkan kurikulum dan modul pengajaran terkini selari dengan kehendak industri hijau.
Di samping itu, Cenergi juga akan menyediakan peluang latihan industri kepada pelajar ILKA, membolehkan mereka menimba pengalaman praktikal dan membantu perkembangan profesional mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cenergi, Hairol Azizi Tajudin menyatakan bahawa ketika negara menumpukan perhatian kepada agenda peralihan tenaga, industri hijau memiliki banyak potensi dan peluang pertumbuhan.

“Justeru, kita perlu mempersiapkan tenaga kerja kita dengan sewajarnya. Cenergi komited untuk terus memacu dan menghubungkan TVET ke dalam industri, menerusi pendekatan di dalam kelas dan di lapangan.
“Seandainya generasi masa hadapan kita dilengkapi dengan kepakaran serta kemahiran yang diperlukan, kita boleh memenuhi kehendak industri hijau yang kian berkembang, bersama memacu peralihan tenaga dan menyokong pertumbuhan ekonomi hijau Malaysia,” jelas beliau.
Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar telah menandatangani MOC tersebut, manakala Cenergi telah diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Hairol Azizi Tajudin, yang turut disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. - DagangNews.com

