hamden02/10/2026 - 17:30 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 2 Okt - Central Global Bhd (CGB) merancang menerbitkan sukuk mudharabah dengan nilai nominal agregat tertunggak sehingga RM500 juta bagi membiayai aktiviti pelaburan dan keperluan modal kerja syarikat.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata program sukuk itu mempunyai tempoh sehingga 99 tahun dari tarikh penerbitan pertama Sukuk Mudharabah.
“CGB boleh dari semasa ke semasa menerbitkan Sukuk Mudharabah, dengan nilai nominal agregat tertunggak yang diterbitkan di bawah Program Sukuk tidak melebihi RM500 juta pada bila-bila masa,” katanya.
Sehubungan itu syarikat telah mengemukakan maklumat dan dokumen bagi penerbitan sukuk berkenaan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada 2 Oktober 2026 di bawah Garis Panduan SC mengenai Produk Pasaran Modal Tidak Disenaraikan di bawah Rangka Kerja Serah dan Lancar.
Mengulas lanjut CDB berkata dari segi penggunaan hasil, dana yang diperoleh akan digunakan oleh CGB dan anak syarikatnya bagi tujuan yang mematuhi Syariah.
Ia termasuk membiayai aktiviti pelaburan seperti pemerolehan, perbelanjaan modal, tujuan korporat am serta keperluan modal kerja termasuk perbelanjaan operasi dan kos transaksi.
Dana itu juga boleh digunakan untuk membiayai semula atau membayar balik sepenuhnya atau sebahagian pembiayaan Islam sedia ada atau akan datang Kumpulan CGB, termasuk penebusan awal Sukuk Mudharabah, jika berkenaan.
Selain itu, hasil penerbitan boleh digunakan untuk membiayai semula atau membayar balik pinjaman konvensional tertunggak sedia ada Kumpulan CGB, tertakluk kepada resolusi Majlis Penasihat Syariah SC.
Sebahagian hasil juga akan digunakan bagi menampung fi dan perbelanjaan berkaitan yang ditanggung di bawah Program Sukuk serta membiayai Akaun Bayaran Balik Pemegang Amanah Sukuk.
CGB menegaskan semua penggunaan dana daripada penerbitan di bawah Program Sukuk hendaklah pada setiap masa digunakan bagi tujuan yang mematuhi Syariah, termasuk kaedah dana disalurkan kepada syarikat dalam Kumpulan CGB.
Kenanga Investment Bank Bhd dilantik sebagai Penasihat Utama, Pengatur Utama, Pengurus Utama dan Ejen Kemudahan bagi Program Sukuk.
Kenanga Investment Bank, dengan sokongan jawatankuasa Syariahnya, turut dilantik sebagai Penasihat Syariah bagi program tersebut. - DagangNews.com


