Central Spectrum, Westports Malaysia anjur gotong-royong basmi denggi

5 Jul 2025 • 10:33 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

KLANG, 5 JULAI: Bagi menangani risiko peningkatan kes denggi di kawasan berpenduduk padat dan
berisiko tinggi, Westports Malaysia Sdn. Bhd. (Westports) dan Central Spectrum (M) Sdn. Bhd. (CSSB) dengan sokongan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang telah menganjurkan Program Gotong-Royong Basmi Denggi di sekitar kawasan Indah Point, Pulau Indah, Selangor.

Program yang diadakan pada hari Sabtu, 5 Julai 2025 ini telah dirasmikan oleh Yang Berusaha Encik Amran Abdul Wahab, Ketua Kewangan dan Pelaburan, CSSB. Turut hadir ialah wakil-wakil agensi termasuk Leftenan (Bersara) Tuan Mohd Fauzi bin Othman, Ahli Majlis N46C MBDK; Tuan Azmi bin Muji, Pengarah Kesihatan MBDK; dan Dr. Ravinikant A/L Perumal, Ketua Unit Kawalan Penyakit Bawaan Vektor PKD Klang. Manakala pihak Westports diwakili oleh Encik Rosman Mohd Yunus, Pengurus Jabatan Keselamatan.

image is not availableInisiatif gotong-royong ini diadakan sebagai usaha berterusan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya penjagaan kebersihan persekitaran sebagai langkah utama dalam mencegah pembiakan nyamuk Aedes, punca utama penularan wabak denggi. Program ini turut melibatkan kawasan sekitar Jalan Perigi Nenas 8/4, 8/5, dan 8/6, berdekatan kawasan industri dan asrama pekerja asing.

Menurut Encik Amran dalam ucapannya, “Masalah denggi bukan sahaja isu kesihatan, tetapi juga cabaran sosial yang memerlukan tindakan kolektif. Kehadiran komuniti dan pelbagai agensi pada hari ini membuktikan keprihatinan dan kesungguhan kita dalam memastikan kesejahteraan Pulau Indah terus terpelihara.”

image is not availableProgram ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) CSSB yang bertujuan memberi impak positif kepada komuniti di Pulau Indah.bCSSB komited untuk terus menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai pihak dalam menerajui pembangunan komuniti yang sihat dan selamat. Selain daripada program gotong royong, aktiviti lain seperti sukaneka juga diadakan bagi memeriahkan lagi program ini.

Program yang berlangsung dari pukul 8.00 pagi hari ini menyaksikan penyertaan aktif kakitangan kumpulan CSSB, Westports, agensi kerajaan, rakan kolaborasi serta penduduk setempat yang sama-sama berganding bahu membersihkan persekitaran kawasan sasaran.

image is not available

image is not available