CEO Alam Maritim mengaku tidak bersalah kes tipu kadar sewa kapal

LocalBusiness & Finance
10 Sep 2026 • 10:07 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: CEO Alam Maritim mengaku tidak bersalah kes tipu kadar sewa kapal
Azmi (dua dari kanan) hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis, bagi menghadapi kes menipu seorang pegawai sebuah syarikat berkaitan tawaran kadar sewaan harian kapal, dua tahun lalu.

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Alam Maritim Resources Bhd, Datuk Azmi Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas dua pertuduhan menipu seorang pegawai sebuah syarikat berkaitan tawaran kadar sewaan harian kapal, dua tahun lalu.

Azmi, 67, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Suzana Hussin.

“Faham, saya mengaku tidak bersalah, mohon dibicarakan,” katanya yang memakai kot hitam ketika berdiri di kandang tertuduh.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada enam anak itu didakwa menipu Iskandar Mohd Zaffa, 48, yang merupakan Prinsipal Officer di TH Alam Management Sdn Bhd dengan menyembunyikan tawaran sebenar Daily Charter Rate bertarikh 24 Ogos 2023 dan 15 Januari 2024.

Tawaran berkenaan masing-masing menetapkan kadar RM80,500 dan RM110,000 sehari dalam ‘work order’.

Perbuatan itu didakwa dilakukan dengan sengaja bagi mendorong Iskandar bersetuju menandatangani BIMCO Supplytime 2017 dengan kadar Daily Charter Rate masing-masing RM70,000 dan RM78,000 sehari.

Pertuduhan pertama membabitkan perjanjian antara Alam-JV DP2 (L) Inc dan Alam Maritim (M) Sdn Bhd, manakala pertuduhan kedua melibatkan TH-Alam Management (M) Sdn Bhd dan Alam Maritim (M) Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Radin Anum, Bandar Baru Sri Petaling, di sini, pada 6 September 2023 dan 16 Januari 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syazwani Mohammad Sobry mencadangkan tertuduh dikenakan ikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin.

Katanya, pihak pendakwaan turut mencadangkan syarat tambahan supaya Azmi melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya sekali setiap tiga bulan serta tidak mengganggu saksi pendakwaan secara langsung atau melalui pihak ketiga.

Bagaimanapun, peguam, Wan Muhd Ariff Ameer Wan Normazlan yang mewakili Azmi berkata, jumlah yang dicadangkan pendakwaan terlalu tinggi.

“Saya cadangkan anak guam diberi ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin.

“Tujuan jaminan hanya untuk memastikan kehadiran anak guam ke mahkamah,” katanya.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Suzana membenarkan Azmi diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin, termasuk dua syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 18 November depan untuk sebutan kes.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved