CEO Fibrebond Kongsi RM974 Juta Bonus Kepada 540 Pekerja

Business & Finance
1 Jan 2026 • 5:08 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

CEO Fibrebond Kongsi RM974 Juta Bonus Kepada 540 Pekerja

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Fibrebond, Graham Walker telah meraih perhatian dunia selepas berkongsi $240 juta (kira-kira RM974 juta) dalam bentuk bonus kepada 540 pekerja sepenuh masa susulan penjualan syarikat itu kepada Eaton Corporation.

Menurut laporan Express UK, syarikat yang berpangkalan di Louisiana, Amerika Syarikat itu sebelum ini dikenali sebagai pengeluar struktur pelindung bagi peralatan elektrik, namun kini beralih arah dengan memperluaskan pengeluaran untuk memenuhi keperluan pusat data.

Walker menetapkan syarat supaya 15 peratus daripada hasil penjualan syarikat diperuntukkan khusus kepada pekerja, meskipun mereka tidak memiliki saham.

Difahamkan, langkah itu memastikan para pekerja turut menikmati manfaat daripada penjualan syarikat yang dianggarkan bernilai sekitar $1.7 bilion (RM6.9 bilion).

Pekerja yang telah lama berkhidmat terima jumlah bonus lebih tinggi

Pada bulan Jun, semua pekerja mula menerima bonus berjumlah $240 juta (kira‑kira RM974 juta).

Purata bonus adalah $443,000 (kira‑kira RM1.8 juta) seorang dan akan dibayar secara berperingkat selama lima tahun, selagi pekerja kekal bekerja di syarikat.

Express UK melaporkan pekerja yang telah lama berkhidmat menerima jumlah bonus yang lebih tinggi daripada purata.

Ramai pekerja pada awalnya menyangka bonus itu sekadar gurauan, namun mereka terkejut apabila menyedari ia benar-benar berlaku.

Dalam pada itu, mereka mula menggunakan wang tersebut untuk membayar hutang, membeli kereta, menampung kos pendidikan anak-anak atau memperkukuh simpanan persaraan.

Lesia Key, pekerja yang telah bersama Fibrebond berkata, bonus itu memberi impak besar kepada kehidupannya.

“Sebelum ini, hidup kami hanya cukup-cukup makan. Sekarang saya boleh bernafas lega dan bersyukur,” katanya.

Tindakan Walker mendapat pelbagai pujian di media sosial, ramai melihatnya sebagai contoh kepimpinan beretika dan adil.

BACA: Penyanyi Terkenal AS, Beyoncé Rasmi Bergelar Bilionair

Sumber: Express UK

The post CEO Fibrebond Kongsi RM974 Juta Bonus Kepada 540 Pekerja appeared first on Siakap Keli.