Honor kini mengalami perubahan pada tampuk pengurusan, apabila George Zhao meninggalkan jawatan CEO pada syarikat pengeluar peranti berkenaan. Menurut perkongsian oleh pihak Honor, buat masa ini, bekas eksekutif dari Huawei akan menerajui syarikat tersebut, iaitu Li Jian.

George Zhao sebelum ini telah menerajui Honor sejak syarikat tersebut diasingkan daripada Huawei pada 2020 yang lepas. Pengasingan Honor daripada Huawei sebagai entiti kendiri membolehkan ia terus beroperasi dan menggunakan teknologi serta perisian Amerika Syarikat, dan tidak terikat dengan sekatan yang dikenakan pada Huawei ketika itu.
George Zhao dikatakan meninggalkan jawatan CEO pada Honor disebabkan oleh sebab peribadi. Dibawah beliau, Honor telah menjadi salah satu jenama yang popular dengan penawaran pelbagai variasi produk. Honor juga dikatakan sedang dalam persiapan untuk menyenaraikan penawaran awam saham Honor dalam masa terdekat, dan ia dijangka berlaku dibawa teraju Li Jian.

