Minggu lalu Presiden Donald Trump mengarahkan supaya CEO Intel, Lip Bu Tan meletakkan jawatan kerana didakwa mempunyai konflik disebabkan pelaburan beliau di China. Intel tidak mengeluarkan sebarang kenyataan balas tetapi hari ini Tan akan melakukan pertemuan dengan Trump di White House menurut laporan Wall Street Journal.

Pertemuan adalah bagi menjernihkan keadaan serta membolehkan Intel menerangkan komitmen syarikat kepada Amerika Syarikat. Ia juga akan membolehkan Tan menjelaskan latar belakang peribadi dan profesional beliau disamping mencadangkan cara Intel dan kerajaan AS boleh bekerjasama.
Pada waktu yang sama Intel boleh melobi supaya tarif 100% yang dikenakan ke atas cip dan semikonduktor dikecualikan ke atas Intel seperti yang diterima TSMC, Samsung dan SK Hynix.
Di Amerika Syarikat, Tan dituduh oleh ahli politik pro kerajaan sebagai ejen kepada China yang setia kepada “negara kelahiran beliau China” kerana memiliki syarikat pelaburan di negara tersebut. Mereka tidak menyedari CEO Intel dilahirkan Muar Johor dan memegang kerakyatan Amerika Syarikat.
