‘CEO Pos Malaysia tiada niat perlekehkan sesiapa, ada salah faham’-Kesatuan pekerja

LocalPolitics
22 Apr 2025 • 3:04 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Kesatuan-Kesatuan Pekerja Pakaian Seragam Pos Malaysia tampil mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu yang tular melibatkan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer, terhadap pertanyaan seorang kakitangan mengenai pembekalan pakaian seragam baharu.

Dalam kenyataan itu, pihak kesatuan menjelaskan bahawa kenyataan Charles Brewer tidak bermaksud untuk merendahkan mana-mana kakitangan Pos Malaysia. Kesatuan juga jelasnya telah mendapatkan penjelasan daripada beliau sehari selepas kenyataan tersebut tular. Difahamkan, beliau sendiri mengakui kesilapan tersebut adalah akibat salah faham dan bukan bertujuan memperlekehkan sesiapa.

“Kesatuan memahami bahawa bukan maksud beliau untuk memperlekehkan kakitangan tersebut, cuma terdapat salah faham dan beliau sendiri telah mengakui kesilapan itu,” katanya.

Sehubungan itu, kesatuan menyeru agar isu ini tidak terus diperbesarkan demi mengelakkan salah faham terhadap niat sebenar beliau.

Tambah kenyataan tu lagi, sepanjang tempoh perkhidmatan Charles Brewer sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, beliau telah menunjukkan komitmen tinggi dalam mendekati kakitangan dari pelbagai peringkat dan berinteraksi secara langsung dengan ahli-ahli kesatuan serta memahami dan berusaha menyelesaikan pelbagai isu yang dihadapi oleh kakitangan.

Isu pembekalan pakaian seragam baharu

Dalam kenyataan yang sama, kesatuan turut menyentuh isu kelewatan pembekalan pakaian seragam baharu yang sepatutnya telah dilaksanakan. Menurut mereka, kelewatan ini berlaku disebabkan oleh proses penambahbaikan dari segi material dan kualiti pakaian agar lebih sesuai dan selesa untuk dipakai oleh kakitangan.

Sebagai penyelesaian sementara, pihak Pengurusan Operasi akan mengedarkan jersi Pos Malaysia kepada anggota-anggota kesatuan yang terlibat, dan proses pengedaran ini akan dilaksanakan secara bersama oleh pihak Kesatuan dan Pengurusan.

Selain itu, bagi menjaga keselamatan kakitangan di unit penghantaran, pihak syarikat turut menunjukkan komitmen dengan menambah keperluan keselamatan seperti kasut keselamatan dan sarung tangan kepada kakitangan serahan.

Kesatuan turut merakamkan penghargaan kepada pihak syarikat atas usaha penambahbaikan ini, serta komitmen berterusan dalam menjaga kebajikan dan keselamatan kakitangan. Tambahan pula, kesatuan menyambut baik keputusan untuk menambah jumlah pembekalan baju yang melebihi daripada peruntukan di dalam Perjanjian Bersama.