KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Iliyas Jamil, tiba di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, dipercayai bagi menghadapi beberapa pertuduhan rasuah berkaitan projek menaik taraf Pusat Skuasy.
Iliyas, 42, yang memakai kot berwarna biru gelap dilihat memasuki kompleks mahkamah pada jam 8.30 pagi dengan diiringi beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau kelihatan tenang ketika melangkah masuk ke dewan mahkamah sebelum prosiding bermula.
Pada 15 Jun lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abdul Halim Aman, memaklumkan bahawa seorang CEO sebuah badan berkanun akan didakwa berhubung kes rasuah.
Beliau berkata, individu terbabit akan menghadapi tujuh pertuduhan, iaitu satu pertuduhan meminta rasuah dan enam pertuduhan menerima rasuah.
Pada 13 April lalu, individu tersebut direman selama lima hari bermula 14 April bagi membantu siasatan.






